PETALING JAYA – Peminat sukan bola sepak terutamanya yang berada di Malaysia teruja dan berbangga apabila mendapat ucapan selamat menyambut kehadiran Ramadan daripada pasukan bola sepak antarabangsa Tottenham Hotspur.
Menerusi satu muat naik di laman Instagram rasmi pasukan tersebut @spursofficial, sekeping gambar memaparkan empat bintang pasukan berkenaan iaitu Son Heung-min, Gareth Bale, Dele Alli dan Tanguy Ndombele dengan ucapan ‘Jaga Jarak, Patuhi SOP dan ‘Ramadan Tiba Sekali Lagi’ telah mengejutkan pengguna media sosial terutamanya rakyat Malaysia.
Gambar beserta ucapan yang dimuat naik kira-kira satu jam lepas itu turut disertakan dengan kapsyen ‘Marhaban ya Ramadan’. Bulan suci kembali tiba. Saat tepat mensucikan diri daripada segala dosa. Semoga ibadah puasa kita dilancarkan dan keberkatan Ramadan dilimpahkan. Selamat menunaikan ibadah puasa buat umat Islam di Malaysia.
Perkongsian itu setakat pukul 6 petang tadi telah mendapat kira-kira 4,810 tanda suka dengan 364 komen yang rata-ratanya bertanyakan sama ada ianya akaun sebenar atau palsu memandangkan ucapan di kapsyen yang dibuat dengan menggunakan bahasa Malaysia.
Seorang pengguna Instagram dengan nama @mr1890s mengakui terkejut dengan muat naik berkenaan dan inginkan pengesahan bahawa akaun tersebut adalah akaun rasmi dan bukan dicipta oleh peminat kelab bolasepak berkenaan.
“Apa? Ini adalah akaun @spursofficial yang rasmi bukan? Bukannya akaun Spurs Malaysia kan? Wow terima kasih @spursofficial,” katanya.
Seorang lagi pengguna Instagram dengan nama @hzrdqn berasa banggsa dengan muat naik tersebut dan kagum dengan ucapan tersebut.
“Gila lah, ini bukan mimpi kan? Bahasa Malaysia tu. Apapun terima kasih diucapkan di atas ucapan tersebut,” ujarnya. – K! ONLINE