BENTONG – Pemandu dan kelindan sebuah treler membawa muatan bongkah batu maut selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas di Kilometer 43.4 Lebuh Raya Kuala Lumpur Karak, di sini malam semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.10 malam itu, pemandu berusia 44 tahun dan kelindan 63 tahun meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd. Kahar berkata, semasa kejadian kedua-dua mangsa dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur ke Bentong.
“Apabila sampai di tempat kejadian, treler yang berada di lorong kiri hilang kawalan lalu terbabas dan terbalik selepas melanggar penghadang besi di sebelah kiri jalan.
“Treler berkenaan mengalami kerosakan di keseluruhan bahagian kepala dan ekor dan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,”katanya di sini hari ini.
Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Bentong untuk bedah siasat.
Dalam pada itu, beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan masih giat dilakukan.
Katanya, berdasarkan siasatan awal ketika kejadian hujan dan permukaan jalan adalah licin.
“Polis meminta mana-mana saksi yang melihat kejadian itu agar tampil bagi membantu siasatan,”ujarnya. -K! ONLINE