fbpx

MCA, MIC sudah buktikan kesetiaan selepas PRU-14

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEBAHAGIAN daripada ahli UMNO yang menyertai Program Bangkit 15 Negeri Johor kelmarin.

JOHOR BAHRU – Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada Mei 2018 sudah jelas membuktikan kesetiaan dua parti komponen dalam Barisan Nasional (BN) iaitu MCA dan MIC walaupun gabungan itu tumbang buat kali pertama sejak lebih 60 tahun memerintah.

Ketika beberapa parti yang selama ini menguatkan BN mengambil keputusan untuk membawa haluan masing-masing selepas tewas PRU-14, MCA dan MIC pula sebaliknya masih utuh bersama UMNO untuk menunjangi BN sehingga ke hari ini.

Malah, kenyataan lantang dan keras yang dikeluarkan parti komponen itu juga diyakini tidak memberi kesan atau menjejaskan kesepakatan dalam gabungan itu yang sudah sekian lama terjalin.

Mengulas mengenai perkara itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob percaya, kritikan atau pandangan dilontarkan tidak akan menggugat perpaduan serta persefahaman sedia ada dalam BN.

Jelas beliau, semua kenyataan sama ada pemimpin MIC atau MCA yang dikeluarkan itu dapat diuruskan dengan baik dalam BN berbekalkan semangat setiakawan.

“Memang dari dahulu pun masa kita jadi kerajaan, kenyataan dibuat parti komponen agak keras tapi kita tidak pernah berpecah pun. Bila parti kita kalah banyak parti lain tinggalkan kita tapi MIC dan MCA terus kekal bersama kita.

“Jadi perbezaan pandangan sama sekali tidak akan memecah­belahkan kita dalam BN,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Bangkit 15 UMNO Negeri Johor di sini kelmarin.

Sebelum ini, MIC memberi gambaran seolah-olah parti itu tidak bersetuju dengan keputusan UMNO yang memutuskan BN akan bertanding bersendirian pada PRU-14 seperti dinyatakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam Perhimpunan Agung UMNO 2020.

Presiden MIC, Tan Sri S. Vigneswaran menegaskan BN dan Perikatan Nasional (PN) perlu digabungkan selain parti itu akan terus menyokong pentadbiran kerajaan.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri yang juga Pengerusi Biro Latihan dan Perkaderan UMNO mahu UMNO Johor kembali bangkit dan memenangi lebih banyak kerusi pada PRU-15, nanti.

Beliau berkata, UMNO Johor perlu bangkit kembali bagi menguasai kerajaan memandangkan Johor merupakan negeri tempat kelahiran parti keramat orang Melayu.

“Johor memang daripada dahulu menjadi benteng kekuatan UMNO. Seperti yang kita tahu, UMNO ditubuhkan di Johor, jadi UMNO Johor perlu bangkit kembali menguasai kerajaan.

“Walaupun sekarang memang UMNO menjadi kerajaan di Johor tetapi kali ini kita percaya UMNO akan menang lebih besar di negeri ini,” katanya.

Johor di bawah pimpinan kerajaan Perikatan Nasional (PN) kini menyaksikan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Hasni Mohammad dlantik sebagai Menteri Besar ke-18.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI