PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) melahirkan rasa khuatir terhadap aktiviti-aktiviti yang tidak terkawal pada bulan Ramadan ini akan mengakibatkan peningkatan penularan jangkitan Covid-19 di dalam komuniti.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, justeru masyarakat diseru supaya tidak leka dan mengambil iktibar daripada penyebaran jangkitan daripada aktiviti sosial seperti kunjung-mengunjungi ke rumah rakan dan sanak saudara, perjalanan rentas negeri atau menghadiri perhimpunan besar-besaran.
“Ini termasuk keluar dari rumah tanpa ada keperluan penting, menghadiri perhimpunan atau keraian berbuka puasa secara besar-besaran dan bersesak-sesak di bazar Ramadan,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata, masyarakat dinasihatkan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) aktiviti masjid dan surau dan SOP sektor makanan bazar Aidilfitri dan Ramadan yang telah ditetapkan oleh kerajaan.
Katanya, seperti diumumkan Majlis Keselamatan Negara, masyarakat berpeluang mengunjungi bazar Ramadan pada tahun ini namun beberapa negeri telah memutuskan untuk mengambil langkah lebih berjaga-jaga memandangkan jumlah kes harian masih tidak stabil di beberapa negeri.
Tambahnya , masyarakat juga diingatkan mengamalkan empat kunci keselamatan makanan bagi memastikan makanan yang disediakan untuk ahli keluarga adalah bersih dan selamat.
“Gunakan bahan mentah segar dan air bersih; gunakan peralatan berasingan untuk makanan mentah bagi mengelakkan pencemaran kepada makanan telah dimasak; masak makanan dengan sempurna dan pastikan ia dimakan dalam tempoh tidak melebihi empat jam serta simpan makanan pada suhu bersesuaian dan tidak melebihi tiga hari di dalam peti sejuk,” katanya.
Ujarnya lagi, KKM berharap masyarakat sentiasa mengambil makanan sihat dan seimbang pada setiap masa dengan mengamalkan konsep 3M.
“Konsep tersebut iaitu, masak di rumah jika boleh. Ini dapat membantu mengawal penggunaan minyak, gula dan garam berlebihan dalam makanan.
“Seterusnya, makan buah-buahan dan sayur-sayuran setiap hari untuk meningkatkan kesihatan tubuh badan dan minum air kosong sekurang-kurangnya lapan gelas sehari serta elakkan minuman mempunyai kandungan gula tinggi seperti minuman berkarbonat,” katanya. -K! ONLINE