PENYANYI dan pelakon terkenal Jennifer Lopez akhirnya membuka mulut apabila mendedahkan gerangan individu yang memberi gelaran JLo kepadanya sewaktu dia mula-mula menyertai industri.
Menerusi laporan portal Insidenova, Lopez memberitahu, panggilan tersebut diberikan oleh penyanyi dan juga komposer, Heavy D ketika dia merakamkan album pertamanya pada tahun 1999.
“Nama JLo diberikan oleh Heavy D ketika kami bertemu di studio untuk pembikinan album pertama saya, 22 tahun lalu.
“Selain JLo, dia juga memanggil saya dengan beberapa gelaran lain iaitu Jenny-Lo dan Jennifer-Lo,” katanya.
Ujar pelantun lagu On The Floor itu, dia mengambil keputusan untuk menggunakan nama panggilan JLo sewaktu menghasilkan album keduanya pada tahun 2001.
“Nama tersebut kedengaran serasi dan bermain-main dalam fikiran saya.
“Malah, pelakon Judy Greer yang turut membintangi filem The Wedding Planner bersama saya juga bersetuju dengan gelaran tersebut,” ujarnya lagi.