ALOR SETAR – Seorang lelaki Pakistan didenda RM4,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini setelah mengaku bersalah menawarkan suapan RM100 kepada seorang anggota polis, tahun lalu.
Tertuduh, Fazal Wadood, 25, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Murtazadi Amran.
Murtazadi turut memerintahkan tertuduh yang bekerja sebagai buruh dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut. Fazal membayar denda dikenakan.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menawarkan suapan itu kepada anggota polis berpangkat koperal dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.
Suapan itu sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap rakan tertuduh dikenali sebagai Nazeem Khan.
Nazeem ketika itu melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen kerana tinggal di negara ini melebihi tempoh masa yang ditetapkan.
Perbuatan tersebut didakwa dilakukan tertuduh di susur keluar Plaza Tol Pendang dekat sini kira-kira pukul 10.45 malam, 5 Disember tahun lalu. – K! ONLINE