fbpx

Kusiku inovatif kreatif kerusi tanpa kaki,

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Platform PKS

PETALING JAYA – Selesai solat berjemaah di masjid dan surau, sementara menunggu ustaz atau penceramah membuat persiapan menyampaikan ce­ramah agama, ramai jemaah mula bergerak mencari lokasi untuk duduk bersandar pada dinding atau tiang.

Tidak ramai yang selesa duduk bersila atau bersimpuh meskipun yang berusia muda ketika berada dalam majlis ilmu yang mengambil masa di antara 45 minit hingga sejam.

Melihat kepada permasalahan tersebut setiap kali menghadiri ceramah agama di masjid dan surau, Pengasas syarikat MB Solution (M) Sdn. Bhd., Mohd. Basri Ramli mula mencari idea untuk membantu rakan-rakannya berasa selesa duduk sambil berkongsi ilmu agama di rumah Allah.

Mengambil masa hampir setahun, inovatif anak kelahiran Perak yang telah terlibat dalam pelbagai perniagaan selama 33 tahun itu berjaya menghasilkan kerusi tanpa kaki yang dikenali sebagai Kusiku.

Menurut Mohd. Basri, 59, yang lebih dikenali sebagai Pak Ngah, ramai yang terlepas pandang tentang tempoh masa manusia duduk adalah lebih lama daripada tidur dan berdiri. Tempoh duduk dalam sehari mungkin memakan masa lebih dari sembilan jam berbanding tempoh tidur yang mengambil masa di antara lima hingga enam jam sehari sahaja.

Jelasnya, bagi mendapatkan tidur yang selesa, masyarakat sanggup me­labur ribuan ringgit untuk membeli bantal dan tilam yang selesa bersesuaian untuk menjaga postur tulang belakang.

Tetapi sebenarnya, kedudukan duduk juga adalah penting bagi penjagaan kesihatan untuk tempoh jangka panjang.

“Saya selalu berfikir di luar kotak apabila melihat kepada permasalahan tersebut, jadi tercetus idea untuk membangunkan kerusi tanpa kaki yang dinamakan Kusiku, di bawah jenama itu, produk sulung kami adalah Silla.

“Silla diambil daripada bahasa Sepanyol yang memberi makna kerusi dalam bahasa Melayu.

“Kerusi tersebut akan memberi keselesaan kepada pengguna ketika duduk malah mampu menjaga postur tulang belakang bawah daripada sakit,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Bangi baru-baru ini.

Pernah diaju soalan menjengkelkan kerana melahirkan produk yang ganjil dan tidak akan mendapat tempat di pasaran, Mohd. Basri nekaddengan pendiriannya untuk menghasilkan produk yang akan dapat membantu masyarakat di luar sana, bukan sahaja di masjid dan surau.

Melalui sokongan ke­luarga dan tiga orang anaknya yang turut membantu mengoperasikan perniagaan tersebut, kerusi Silla berjaya dilancarkan di pasaran dengan memiliki rekaan khusus tanpa penggunaan kaki dan mempu­nyai struktur yang stabil dan tidak terbalik ketika duduk.

Ia juga selamat diduduki dan tidak meninggalkan sebarang kesan kerosakan kepada karpet atau kusyen yang berada di kerusi berkenaan.

Kerusi yang mudah digunakan tanpa sebarang pemasangan itu dibangunkan dengan reka bentuk yang cembung dan melengkung ke atas iaitu di bahagian kiri, kanan, depan dan belakang kerusi.

Mengulas lanjut, produk unik itu mula berada di pasaran pada tahun 2019 dan ia mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan secara online dan ada juga yang membelinya untuk disedekahkan di masjid dan di surau.

“Pada awal promosi, kami sedekahkan di masjid dan surau dengan niat untuk memberi manfaat kepada jemaah.

“Bermula di situ, jenama produk kami makin kukuh, ramai yang telah membuat tempahan termasuk syarikat korporat yang mahu menginfakkan untuk projek sosial masing-masing.

“Lebih menarik, ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan pada Mac tahun lalu, permintaan terhadap Kusiku bertambah dengan ketara kerana ramai yang bekerja dan belajar di rumah.

“Ramai yang menempah kerusi ini untuk membolehkan mereka duduk selesa membuat kerja dan belajar bersama anak-anak,” jelasnya.

Mohd. Basri juga tidak me­nyangka, fungsi kerusi berkenaan telah dipelbagaikan hingga ada yang menggunakannya untuk duduk sambil menyiapkan tempahan kuih-muih dan biskut, dibawa untuk pergi memancing dan ada juga duduk dengan selesa sambil menyusu bayi serta melipat kain.

“Saya rasa bangga dan terharu kerana Kusiku memberi manfaat dengan memberi keselesaan kepada masyarakat untuk me­lakukan kerja harian mereka,” jelasnya.

Produk yang turut ditawarkan dalam tiga warna selain putih itu dijual pada harga antara RM45 hingga RM55 seunit.

Ditanya mengenai perancangan masa depannya, Mohd. Basri menjelaskan, syarikat bakal memperkenalkan dua lagi segmen baharu iaitu untuk kanak-kanak dan juga Silla eksklusif.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI