PETALING JAYA – Kerajaan hari ini mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Meruntum, Putatan, Sabah berkuatkuasa 13 April sehingga 26 April 2021.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat selepas Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan berlaku peningkatan kes di lokaliti tersebut serta terdapat 62 sampel ujian saringan masih menunggu
keputusan.
“Sehingga semalam, KKM telah melaksanakan 71 ujian saringan dan daripada jumlah itu, secara kumulatifnya sebanyak lima kes positif Covid-19 direkodkan.
“Pelaksanaan PKPD membolehkan KKM melakukan pengesanan awal kes serta mengelak penularan Covid-19 ke luar lokaliti ini,” katanya ketika sidang khas Majlis Keselamatan Negara hari ini.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, seramai 111 individu telah ditahan semalam kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Daripada jumlah itu, 101 individu telah dikompaun manakala 10 lagi direman.
“Ops Benteng semalam juga telah menahan 27 orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dan merampas enam buah kenderaan darat dalam operasi yang dilakukan di seluruh negara,” ujarnya. – K! ONLINE