fbpx

JKDM lancar Ops Letup 2021

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abdul Latif mengibarkan bendera kastam sebagai simbolik pelancaran Ops Letup 2021 di Pejabat Kastam Dengkil semalam.

DENGKIL – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) melalui Bahagian Penguatkuasaan melancarkan Ops Letup 2021 yang bermula semalam sehingga 9 Mei depan.

JKDM berkata, Operasi Letup 2021 atau Ops Letup 2021 bertujuan menyekat bekalan dan pengedaran barang-barang seludup, khususnya melibatkan mercun, bunga api, rokok dan minuman keras menjelang musim perayaan khasnya.

Katanya, ia melibatkan beberapa lokasi tumpuan seperti pasar raya, pasar awam, pasar malam, bazar Ramadan, gudang-gudang mahupun premis kediaman agar menimbulkan rasa takut, gerun serta tidak selesa dalam kalangan mereka yang tidak bertanggungjawab ini.

“Operasi ini dilaksanakan secara bersepadu dan terancang melibatkan pegawai dan anggota penguatkuasaan JKDM secara serentak di seluruh negara,” katanya

Terdahulu, majlis pelancaran operasi berkenaan disempurnakan Ketua Pengarah Kastam Malaysia, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir di Pejabat Kastam Dengkil,  di sini semalam.

JKDM berkata, melalui Ops Letup 2021, pihaknya berhasrat untuk memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai pendirian tegas jabatan dalam memerangi isu penyeludupan sekali gus mendorong pematuhan terhadap perundangan sedia ada.

Katanya, ia termasuklah Akta Kastam 1967, Akta Anti Pemerdangangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dan Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Ini secara tidak langsung memberi amaran serta mempamer kekuatan JKDM melalui penyatuan semua sumber yang ada ke arah memerangi jenayah penyeludupan dan mengambil tindakan undang-undang ke atas mereka yang terlibat.

Justeru, JKDM menyeru orang awam memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi talian bebas tol  1-800-88-8855 atau pejabat kastam yang terdekat di semua negeri.

“JKDM juga memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI