SHAH ALAM – Perbualan antara ahli politik berbeza parti adalah satu perkara biasa dalam dunia politik di negara ini.
Pengerusi PKR Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perbuatan tersebut bukan satu tindakan jenayah yang termaktub di dalam undang-undang negara.
“Tidak menjadi satu kesalahan sekiranya ahli politik daripada parti berbeza bercakap (sama ada melalui telefon atau bersemuka). Kalau ia satu jenayah, bermasalah lah,” katanya pada sidang akhbar selepas pelancaran Geran Padanan Digitalisasi PKS Selangor, di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas penularan rakaman perbualan telefon mirip suara Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, baru-baru ini.
Amirudin turut menjelaskan kebimbangannya terhadap sebarang unsur pengintipan rakaman suara dan video dengan tujuan mengaibkan sesebuah pihak atau individu.
Tegas beliau, ini berikutan jelas melanggar hak peribadi seseorang individu tersebut.
“Dalam rakaman audio (dipercayai Anwar dengan Zahid), tidak ada sebarang perbincangan kerjasama di antara PKR dengan UMNO.
“Kita perlu kembali kepada skandal Watergate yang mana Presiden Amerika Syarikat, Richard Nixon jatuh disebabkan penyebaran rakaman suaranya dalam pita rakaman,” tegasnya. -K!ONLINE