fbpx

Hasanah lepas tanpa bebas tuduhan pecah amanah wang RM50.4 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas tanpa membebaskan (DNAA) bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Ab. Hamid daripada tuduhan pecah amanah wang US$12.1 juta (RM50.4 juta).

Hakim Ahmad Shahrir Mohd. Salleh menetapkan demikian selepas  pendakwa raya memutuskan untuk tidak meneruskan pendakwaan terhadap Hasanah berikutan wujud penemuan-penemuan baharu berkaitan kes berkenaan.

Hakim itu berpendapat mahkamah tidak boleh menggesa pendakwa raya  meneruskan kes terhadap Hasanah jika pihak pendakwaan menarik balik tuduhan yang dikemukakan.

Dalam keputusan ringkasnya, Ahmad Shahrir berpuas hati pihak pendakwaan telah mengemukakan alasan yang wajar dalam melaksanakan kuasa budi bicaranya untuk tidak meneruskan pertuduhan terhadap beliau.

Keputusan ringkas itu menyatakan, ketika mengemukakan permohonan agar Hasanah dilepas tanpa dibebaskan, pihak pendakwaan memberi alasan bahawa tertuduh akan dihadapkan dengan pertuduhan pada masa akan datang berdasarkan kepada penemuan-penemuan baharu dalam kes
tersebut.

“Penemuan yang dinyatakan itu merupakan kekangan sementara kerana pihak pendakwaan mengesahkan bahawa tertuduh akan dihadapkan semula dengan pertuduhan pada masa akan datang,” ujar hakim berkenaan.

Sehubungan itu, mahkamah berpuas hati bahawa pihak pendakwaan telah melaksanakan kuasa budi bicaranya ketika tidak meneruskan pertuduhan terhadap Hasanah mengikut Seksyen 254(1) Kanun Prosedur Jenayah.

Ahmad Shahrir dalam keputusan ringkasnya turut mengemukakan nas undang-undang dalam satu kes di Mahkamah Rayuan yang menyatakan apabila pendakwa raya memutuskan untuk tidak meneruskan pendakwaan, mahkamah boleh memberi perintah pelepasan tanpa pembebasan jika wujud alasan-alasan yang wajar.

Penghakiman Mahkamah Rayuan itu selanjutnya menyatakan, jika tiada alasan wajar, mahkamah sepatutnya memberi perintah pelepasan dan pembebasan (DNA).

Ujar Ahmad Shahrir, prinsip ini diasaskan kepada gagasan bahawa tertuduh tidak seharusnya dibayangi sesuatu pertuduhan sedangkan tidak dapat ditentukan sama ada dia akan didakwa semula atau sebaliknya.

Hari ini mahkamah sepatutnya mendengar keterangan 11 saksi pendakwaan yang dijalankan secara tertutup kerana mereka dikategorikan sebagai saksi terlindung.

Setakat ini, 10 saksi pendakwaan telah memberi keterangan di mahkamah terbuka bermula 6 Oktober tahun lalu.

Pendakwa raya bagaimanapun mengemukakan permohonan untuk menarik balik kes sebelum saksi-saksi terlindung memberi keterangan.

Tertuduh, 64, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sebagai seorang penjawat awam iaitu Ketua Pengarah Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri (JPM) melakukan kesalahan itu di pejabat Ketua Pengarah, Bahagian Penyelidikan JPM, Kompleks JPM, Putrajaya di antara 30 April dan 9 Mei 2018.

Hasanah dituduh pada 25 Oktober 2018 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta denda jika sabit kesalahan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI