GEORGE TOWN – Hasrat Penang FC untuk membenam pasukan Sabah FC tidak menjadi selepas terikat 1-1 dalam perlawanan Liga Super di Stadium Bandaraya Pulau Pinang di sini malam ini.
Gol pertama skuad bimbingan Jurgen Klopp’ Malaysia, Tomas Trucha itu hadir lewat pada minit ke-85 hasil tandukan pemain import dari Brazil, Casagrande.
Pada separuh masa pertama, pasukan tuan rumah dilihat banyak melepaskan peluang gol selepas rembatan penyerangnya, Sheriddin Boboev
berjaya ditepis penjaga gawang Sabah FC, Robson Rendy Rining pada minit ke-24.
Cubaan kedua Penang FC hasil sepakan penyerangnya, Casagrande pada minit ke-26 dan 27 juga berjaya dihalang kemas penjaga gol berusia 28 tahun itu.
Beraksi dalam keadaan hujan lebat ternyata tidak mematahkan semangat pasukan tuan rumah dalam mempamerkan persembahan terbaik di hadapan kira-kira 2,000 penyokong setianya.
Pun begitu, pasukan kendalian Kurniawan Dwi Yulianto juga dilihat saling membalas asakan bagi meraih mata jaringan di tempat lawan.
Bagaimanapun, tiada sebarang jaringan dikutip buat kedua-dua sepasukan sehinggalah wisel babak pertama ditiupkan.
Memasuki separuh masa kedua, Sabah FC mula memanaskan rentak perlawanan dengan berjaya menghasilkan gol pendahulu hasil sepakan kencang menerusi kaki kiri pemain tengahnya, Saddil Ramdani pada minit ke-50.
Kedua-dua pasukan saling membalas sepakan bagi menggandakan gol kedua mereka namun tidak berhasil.
Keputusan terikat 1-1 sehinggalah wisel penamat dibunyikan.
Penang FC bakal beraksi dengan pasukan PJ City di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada 18 April ini. – K! ONLINE