PETALING JAYA – Jabatan Siasatan dan Pengutkuasaan Trafik (JSPT) hari ini mengumumkan tentang pelanjutan tempoh tawaran diskaun 50 peratus ke atas pembayaran saman menerusi aplikasi MyBayar Saman sehingga 15 April ini.
Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata, pelanjutan itu adalah susulan daripada sambutan menggalakkan yang diterima daripada orang ramai yang membuat pembayaran saman menerusi aplikasi tersebut.
“Sehingga kini, aplikasi MyBayar Saman telah mempunyai seramai 708,030 pengguna berdaftar serta telah menerima sebanyak 5,340 aduan e-mel terkumpul.
“Sejak dirasmikan pada 25 Mac lalu sehingga hari ke-18 tawaran pada 11 April, sebanyak RM73,332,910 bayaran saman telah berjaya dikumpulkan melibatkan sebanyak 659,998 saman,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau jumlah tersebut adalah termasuk RM6.28 juta bayaran saman membabitkan 56,909 saman yang dijelaskan menerusi aplikasi tersebut.
“Di atas sambutan yang menggalakkan serta permintaan daripada orang ramai, JSPT kini mengumumkan tentang pelanjutan selama empat hari lagi sehingga 15 April ini,” jelas beliau.
Terdahulu, Kosmo! pada 25 Mac lalu melaporkan tentang Majlis Pelancaran Portal Dan Aplikasi Mobile MyBayar Saman yang dirasmikan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.
Menurut Abdul Hamid, menerusi portal dan aplikasi itu, orang awam dapat melakukan pembayaran dalam talian tanpa perlu bersesak di kaunter-kaunter bayaran sedia ada.
“Sempena tarikh keramat Hari Polis ke-214, PDRM juga ingin menawarkan pengurangan saman sebanyak 50 peratus ke atas sama-saman yang terpilih bermula hari ini sehingga 11 April (18 hari) kepada mereka yang menggunakan portal dan aplikasi Mobil MyBayar Saman.
“Saman kompaun ini bagaimanapun dikecualikan ke atas enam kesalahan utama kesalahan trafik seperti melanggar lampu isyarat merah, memandu melebihi had laju ditetapkan, memotong garisan berkembar, menggunakan telefon semasa memandu dan memandu di lorong kecemasan,” katanya. – K! ONLINE