Oleh KHAIRULMIZAN YAHYA
KUANTAN – Aktiviti berbuka puasa di Padang Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) 1 di sini yang menjadi tradisi setiap kali Ramadan tidak dibenarkan pada tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abd. Rahim Muda berkata, larangan itu dibuat bagi mencegah penularan wabak Covid-19 sekali gus mengelak berlakunya kluster baharu pandemik berkenaan.
“Kita tahu setiap kali Ramadan padang MBK1 menjadi tumpuan orang ramai untuk berbuka puasa secara santai bersama keluarga dan sahabat handai.
“Jadi kita harap orang ramai dapat patuhi arahan ditetapkan memandangkan keputusan ini untuk kepentingan bersama,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau turut meminta agar semua peniaga di tapak bazar Ramadan dan Aidilfitri mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa.
Katanya, sebanyak 30 tapak bazar dibenarkan dibuka seluruh negeri yang melibatkan 1,836 peniaga termasuk 885 peniaga di Kuantan.
“Semua peniaga diminta mematuhi SOP iaitu pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal satu meter, pemeriksaan suhu dan kebersihan gerai,” ujarnya. -K! ONLINE