fbpx

Death metal Sil Khannaz terus hidup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KUMPULAN SIL KANNAZ

PERTEMUAN sekitar pukul 8 malam tempoh hari dirancang selama seminggu. Kebetulan pula tarikh wawancara jatuh pada hari Sabtu, penulis sebenarnya mengambil keputusan agak berat hati kerana perlu meninggalkan seketika anak-anak dan isteri yang sedang berkhemah di Sungai Congkak, Hulu Langat untuk ke Bsync Live Studio di Jalan Robson, Kuala Lumpur.

Awalnya terdetik juga mahu sahaja perancangan tersebut ditunda, namun mengenangkan entah bila lagi hendak dilestarikan, hati digagahkan untuk bertentang mata dengan band death metal legenda Malaysia, Sil Khannaz.

Mengapa tiba-tiba Sil Khannaz? Segalanya bermula apabila Pengurus Besar Bsync Live Studio, Adam Sofian Mazlan, 43, menjemput kumpulan itu mengadakan persembahan Sil Khannaz March to Madness pada 27 Mac lalu secara atas talian.

Lebih menarik, terjahan muzik keras dan padu Sil Khannaz pada konsert tersebut turut diserikan irama tradisional persembahan sekumpulan anak muda Kuala Lumpur yang menggelarkan diri sebagai Dewangga Sakti.

Vokalis Sil Khannaz, Jaie atau nama sebenarnya, Ramzee Abd. Hamid, 53, tiba awal, diikuti Neer Hashirim, Adjhezz, Roi dan Dark E dengan masing-masing memakai baju hitam Ozzy Osbourne, Bolt Thrower, Sepultura, Dirty Rotten Imbeciles dan Sodom.

“Tulang pinggul saya patah dan terpaksa dipasang tiga batang skru sebab kemalangan dihempap motosikal Harley Davidson di Pantai Balok, Pahang dua tahun lalu.

MASIH bergerak dan terus hidup memperjuangkan muzik death metal, Sil Khannaz kini dianggotai oleh (dari kiri), Dark E, Neer Hashirim, Adjeez, Roi dan Jaie.

“Sampai sekarang belum sembuh sepenuhnya,” kata Jaie membuka bicara.

Kata pengusaha kedai muzik itu, tragedi tersebut membuatkan Sil Khannaz tidak masuk studio selama dua tahun.

“Sebab itu, bila Bsync Studio jemput untuk buat konsert, kami terus bersetuju. Memanglah gian untuk beraksi, namun disebabkan Covid-19, kami terpaksa berdiam dan menumpukan sepenuh perhatian terhadap kerja hakiki,” katanya.

Jaie dan rakan-rakan sedar menjadi pemuzik bawah tanah sepenuh masa merupakan impian kosong.

Atas alasan itu, walaupun tiada aktiviti gig dan rakaman album, mereka masih ada rezeki lain untuk menyara keluarga.

Secara diam-diam, mereka mengeluarkan album berjudul Intravena Tantrika pada Jun 2020 dalam format digipack CD yang terjual lebih 500 unit dalam tempoh singkat.

“Konsert malam itu agak janggal kerana tiada penonton yang boleh memberi lebih bagus. Main muzik live tapi tiada penonton memang tiada feel tapi apakan daya, ini zaman pandemik,” katanya.

Menurut Jaie, idea menggabungkan muzik metal dan tradisional dicetuskan oleh Adam Sofian memandangkan sudah 10 tahun hasrat tersebut dibincangkan bersama Dewangga Sakti.

Ibarat mimpi menjadi realiti, impian tersebut diterjemahkan selepas Bsync Live sanggup mengeluarkan kos sewa peralatan gamelan terutama bonang dan gong di samping beberapa alat muzik lain.

GABUNGAN Sil Khannaz bersama Dewangga Sakti menerusi konsert Sil Khannaz March To Madness berlangsung pada 27 Mac lalu.

“Kami tidak terikat dengan dengan genre muzik tertentu dan lebih selesa bereksperimen.

“Seperti yang semua maklum muzik dan lirik Sil Khannaz banyak dipengaruhi elemen Melayu klasik sejak dari zaman album Gerbang Kayangan (1995) sehinggalah ke hari ini.

“Konsert tempoh hari membuktikan bahawa irama kami sesuai dialunkan dengan alat muzik tradisional.

Kami berpendapat muzik itu universal baik metal, rock, punk, disco, rap, dangdut, pop dan sebagainya,” katanya serius.

Dengan pelitup kepala berlogo kelab Manchester United, Jae tenang membutirkan falsasah.

“Tidak kira kita bermain dengan tempo perlahan atau laju, bising atau sedap didengar, logiknya kita masih menggunakan talaan, kord, irama atau bunyi dan disiplin yang sama dalam penciptaan serta gubahan muzik.

BIARPUN sudah berada dalam kelas tersendiri, sikap rockstar dan besar kepala tiada dalam kamus hidup Sil Khannaz.

Rockstar

“Jadi, gabungan pelbagai muzik moden dan tradisional dalam lagi tidak mustahil untuk dijayakan.

“Kita perlu belajar mengenali dan menghormati apa saja jenis muzik yang orang lain minat.

“Sebab itu muzik dinamakan makanan jiwa,” katanya penuh makna.

Mengenai dunia bawah tanah ketika ini, Jaie mengakui senario tersebut masih berbisa walaupun kurang dikenali di tanah air sendiri.

Katanya, sudah ada beberapa band bukan sahaja mampu membuat siri jelajah dan menyertai festival besar di luar negara seperti Eropah, Jepun dan Asia Tenggara, malah mereka sudah merakamkan album dengan label antarabangsa.

“Saya kecewa Sil Khannaz masih belum ada rezeki berbuat demikian kerana faktor kesihatan saya.

“Insya-Allah, jika kaki saya sudah pulih, saya pun ada angan-angan seperti mereka,” katanya.

Antara ramuan Sil Khannaz masih kekal sehingga ke hari ini, kata Jaie, mereka mempunyai minat, tuah, kerja keras dan menjaga keperibadian.

“Walaupun hanya saya anggota asal Sil Khannaz sejak 1987, saya berkongsi minat yang sama dengan Neer Hashirim, Dark E, Adjeez dan Roi iaitu bermain muzik serta menunggang motosikal berkuasa tinggi.

“Tuah kami pula ialah mampu mencipta lagu sendiri selepas fikir sampai bila mahu main lagu orang.

“Saya rasa puas dan kerana itulah kami dapat beraksi di pentas-pentas besar seperti di Singapura, Sabah, Hammer Sonic Open Air Festival (Jakarta), Rock The World, Hard Rock Cafe, Planet Hollywood dan Pattaya

Bike Week (Thailand),” katanya.

Biarpun sudah berada dalam kelas tersendiri, Jaie menegaskan, sikap rockstar dan besar kepala tiada dalam kamus Sil Khannaz.

“Sila cari band lain jika anda mahukan itu. Kami sentiasa menganggap dan menghormati semua penyokong band ini sebagai kawan atau sahabat,” getusnya.

Menjelaskan mengenai asal nama band ini, anak kelahiran Perlis itu memberitahu, istilah tersebut diambil daripada sebuah lagu daripada band Black Fire berjudul Sil Khannas.

Pada 1993, perkataan tersebut kemudian ditukarkan menjadi Sil Khannaz untuk memberikan kelainan.

“Ramai yang terkejut, marah, mencemuh dan menghina perkataan itu yang dikatakan diambil daripada kitab suci. Tetapi, memang itu motif kami supaya anda semua sentiasa berwaspada dan ingat dengan semua benda yang bersangkutan dengan kejahatan.

GARA-GARA Jaie terlibat dalam kemalangan sehingga patah tulang pinggul, dua tahun Sil Kannaz tidak masuk studio dan berlatih main muzik sama-sama.

“Ibarat papan tanda kawasan kemalangan yang menyeru kita semua supaya berhati-hati.

“Pilihan di tangan anda sama ada mahu kegelapan atau hidup disinari cahaya. Itu hanyalah simbolik dan tiada sebarang agenda tersembunyi seperti yang orang fikirkan,” jelasnya.

Jaie menegaskan, muzik terutama metal bukan merosakkan seseorang tetapi kehendak dan nafsu mereka sendiri yang mendorong ke lembah kehinaan.

Orang yang tidak mendengar muzik metal pun akan terjebak dengan macam-macam fahaman.

“Pokok pangkalnya didikan keluarga yang paling penting dalam pembentukan sahsiah untuk kita hindari semua benda negatif. Ini semua bukan salah muzik,” tegasnya.

Sementara itu, Neer Hashirim atau nama sebenarnya Hashim Ismail, 50, berkata, kekangan waktu telah membataskan kreativiti mereka untuk bereksperimen dengan Dewangga Sakti.

“Ada banyak lagi yang hendak dilakukan sebenarnya, namun disebabkan pandemik, kami terpaksa memberikan mana yang sempat.

“Semua ini kerana kami menjadikan muzik sebagai hobi yang serius kerana kami semua sekepala,” katanya.

Terima kasih rakan-rakan

Perancangan selama dua bulan untuk menjayakan konsert secara langsung Sil Khannaz March to Madness sebenarnya sudah cukup untuk membuatkan  Adam Sofian tersenyum puas.

Paling terkesan buat Adam, konsert tersebut seolah-olah menjadi pengubat rindu buat rakan-rakan (peminat) yang ternanti-nanti aksi secara langsung Sil Khannaz.

Katanya, idea memasukkan elemen metal dan tradisional dendangan Dewangga Sakti telah memberi impak besar terhadap konsert kali ini.

“Saya tidak sangka begitu ramai yang memberi sumbangan sepanjang konsert itu berlangsung. Sokongan seperti ini yang membuatkan saya lebih bersemangat untuk menganjurkan lebih banyak konsert secara langsung.

ADAM SOFIAN

“Jujur saya akui, genre muzik Sil Khannaz mempunyai impak tersendiri. Ini bukan pertama kali kerana sebelum mereka, saya telah menganjurkan konsert serupa melibatkan band No Good dan Kugiran Masdo di Istana Budaya,” katanya.

Tambah Adam, walaupun pandemik Covid-19 menjejaskan kehidupan dan aktiviti hampir semua orang, namun ujian sebegitu bukanlah penghalang untuk sidang produksi Bsync Studio menjadi lebih kreatif.

Untuk perancangan akan datang, Adam telah menyusun beberapa konsert melibatkan artis tempatan menggunakan medium yang sama.

“Bagi mereka yang terlepas untuk menyaksikan konsert March to Madness, kami akan mengeluarkan CD pada Mei ini untuk tatapan mereka,” katanya.

Sementara itu, pemetik gambus Dewangga Sakti, Zulkifli Ramli, 46, berkata, kumpulannya mengambil masa sebulan untuk berlatih bersama Sil Khannaz.

“Kami semua secara dasarnya peminat Sil Khannaz dan sudah tentu tiada masalah untuk menyulam muzik tradisional ke dalam rif-rif metal mereka.

“Kalau bukan musim Covid-19 tentu lebih banyak yang mampu diberikan, namun apakan daya masa kami terbatas,” katanya.

KONSERT Sil Khannaz March To Madness baru-baru ini menjadi pengubat rindu buat peminat kumpulan death metal yang mengenali Sil Khannaz.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI