Oleh KHAIRULMIZAN YAHYA
KUANTAN – Rakyat negeri ini berpeluang memenangi baucar membeli belah bernilai RM1,000 hanya dengan mendaftar suntikan vaksin Covid-19 melalui Sistem Imunisasi Covid-19 Pahang (SICP).
Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr.Sallehuddin Ishak berkata, pemenang akan dipilih secara cabutan bertuah dan boleh menggunakan baucar terbabit di Pasaraya Darul Makmur dan Tunas Manja di negeri ini.
“Inisiatif ini bagi menggalakkan lebih ramai rakyat Pahang mendaftar vaksinasi melalui sistem yang kerajaan negeri lancarkan ini,” katanya dalam sidang akbar pengumuman cabutan bertuah SICP di Pusat Gerakan Operasi Imunisasi Covid-19 Pahang, di sini hari ini.
Menurutnya, setakat ini seramai 39,762 individu telah mendaftar untuk menerima vaksin bagi fasa 1 dan ia melebihi sasaran ditetapkan.
Menurutnya, bagi fasa kedua pula, SICP telah menerima sebanyak 168,592 pendaftaran dan daripada jumlah itu hanya 38,000 individu yang sudah melengkapi permohonan.
“Jadi kita hanya mencapai 46 peratus sahaja sasaran untuk mereka yang bersetuju untuk divaksinkan. Namun bagi fasa kedua ini kerajaan lebih menumpukan kepada golongan berisiko seperti warga emas.
“Pasukan vaksin Pahang akan pergi ke lokasi yang telah dikenal pasti bagi memberikan suntikan vaksin Covid-19,” katanya.
Pada majlis berkenaan, dua pemenang diumumkan iaitu yang berdaftar pada angka 50,000, Mohd Azizi Khalid dari Peramu Jaya, Pekan dan seorang lagi, Mohd. Amin Mohd Zain dari Genting Highlands yang merupakan individu ke 100,000 yang berdaftar. – K! ONLIONE