LONDON – Pengurus Chelsea, Thomas Tuchel menyuarakan kegembiraan selepas menyaksikan skuad kendaliannya mencatat kemenangan selesa 4-1 ke atas Crystal Palace pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Selhurst Park awal pagi semalam.
The Blues bermula garang pada perlawanan itu apabila mendahului 2-0 seawal minit ke-10 menerusi jaringan Kai Havertz dan Christian Pulisic.
Kurt Zouma menjaringkan gol ketiga Chelsea pada minit ke-30 sebelum penyerang Palace, Christian Benteke merapatkan jurang 3-1, namun Pulisic meledak gol kedua peribadi bagi memastikan kemenangan 4-1.
“Pada 30 minit pertama, kami bermain sangat baik dan dahagakan gol. Semua pemain bermain sangat agresif, jadi saya fikir kami berhak untuk mendahului 3-0.
“Kemudian, prestasi agak menurun dan membolehkan Palace menjaringkan gol tetapi saya gembira dengan reaksi yang ditunjukkan semua pemain,” kata pengendali dari Jerman itu.
Tuchel juga percaya mereka sepatutnya menang dengan jaringan lebih besar, namun jentera serangan yang diketuai Havertz banyak mensia-siakan peluang terhidang.
“Secara jujur, kami memiliki banyak peluang menjaringkan gol tapi gagal memanfaatkannya. Kai (Havertz) sepatutnya jaringkan lebih banyak gol, namun saya tetap gembira dengan aksinya hari ini (semalam),” jelasnya. –AGENSI