DUNGUN – Seorang budak lelaki berusia tiga tahun maut selepas dirempuh sebuah Perodua Kancil di hadapan sebuah kedai makan di Kampung Wau Jerangau, dekat sini malam tadi.
Dalam kejadian pada pukul 8.30 malam itu, Mu’thal Assalam Ahmad meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, sewaktu kejadian, kanak-kanak lelaki tersebut yang mengikut keluarganya makan malam di kedai makan berkenaan dikatakan tiba-tiba meluru keluar ke tengah jalan.
“Sebuah Perodua Kancil yang dipandu seorang wanita berusia 26 tahun yang dalam perjalanan ke Dungun tidak sempat mengelak lalu merempuh mangsa.
“Rempuhan itu menyebabkan mangsa tercampak sejauh beberapa meter dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Jelasnya, wanita yang memandu kereta terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.
Katanya, mayat kanak-kanak itu telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk proses bedah siasat. – K! ONLINE