KUALA LUMPUR – Umat Islam di seluruh negara mula membuat persiapan awal dengan membeli pelbagai barangan keperluan sempena kehadiran bulan Ramadan yang dijangka bermula esok.
Tinjauan Kosmo! di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini semalam menyaksikan orang ramai mula membeli-belah dan memenuhi setiap kedai di kawasan tersebut seawal pukul 10 pagi.
Bagaimanapun, prosedur operasi standard (SOP) tetap dijaga dengan pemakaian pelitup muka, menjaga penjarakan fizikal serta mengambil suhu badan dan mengimbas kod MySejahtera sebelum memasuki premis.
Seorang jurusolek, Fatihah Zaharah Ahad, 38, berkata, dia melakukan persiapan awal bagi mengelak kesesakan membeli di saat akhir.
“Kami sekeluarga tetap bersemangat untuk menyambut kehadiran Ramadan walaupun dalam suasana pandemik Covid-19 dan rentas negeri masih tidak dibenarkan,” katanya ketika ditemui semalam.
Situasi tersebut turut memberi kelegaan kepada golongan peniaga yang rata-rata mendapat hasil jualan memberangsangkan sejak kebelakangan ini.
Peniaga tudung, Yulia Mulyolo, 47, berkata, dia bersyukur kerana perniagaannya menunjukkan peningkatan ketara sejak dua minggu lalu.
“Kedai kami mula dikunjungi orang ramai, kini bolehlah kami membayar sewa kedai manakala modal perniagaan juga telah berjaya dikumpul kembali.
“Dalam tempoh dua minggu lepas, saya boleh katakan kira-kira 5,000 helai tudung berjaya dijual kami,” jelasnya.
Sementara itu, di Johor Bahru, tinjauan di pasar tani dan pasar basah di Tampoi di sini mendapati pengunjung mula memenuhi ruang pasar seawal pukul 8.30 pagi.
Menurut Hishammuddin Adam, 60, sudah menjadi kelaziman buat mereka sekeluarga membuat persiapan awal bagi mendapatkan stok bekalan makanan mencukupi sebagai persiapan menyambut bulan Ramadan.
Dia bersama isteri dan anaknya yang datang dari Kulai memilih pasar tani berkenaan kerana premis berkenaan mempunyai pelbagai pilihan barang basah pada harga berpatutan.
“Memandangkan Ramadan hampir tiba, kami memilih untuk membuat persiapan lebih awal. Jadi, bila sudah menjalani ibadah puasa tidaklah risau barang makanan tak mencukupi.
“Lagipun lebih mudah untuk membuat persiapan awal. Kalau lambat nanti, tempat ini sudah semakin sesak, dikhuatiri tidak ada penjarakan fizikal manakala SOP tidak lagi dipatuhi,” katanya ketika ditemui pemberita semalam.