Oleh KHAIRULMIZAN YAHYA
KUANTAN – Pelanggan boleh bayar berapa sahaja yang mereka mahu dengan seikhlas hati.
Itulah kelainan pusat cucian kereta ‘Ustaz Carwash’ di Jaya Gading, di sini, yang tidak menetapkan harga bagi perkhidmatan mereka untuk setiap hari Jumaat.
Pengarah urusan Ustaz Carwash, Mohd Lokman Ahmad berkata, melalui pendekatan itu pihaknya secara tidak langsung menggalakkan aktiviti kebajikan dalam kalangan masyarakat.
“Bayaran terserah kepada keikhlasan yang mana sebahagian daripada hasilnya akan disumbangkan kepada Pondok Tahfiz Haji Ahmad Kampung Dalam di Lancang, Temerloh.
“Malah bukan hanya pada hari Jumaat, sebaliknya 30 peratus keuntungan syarikat akan disumbangkan kepada tahfiz terbabit,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.
Beliau berkata, dia bersama rakannya, Khairul Fikri Alias, menubuhkan pusat cuci kereta berkonsepkan pandu lalu itu sejak sebulan lalu dan mengakui menerima sambutan menggalakkan daripada orang ramai.
Katanya, tujuan penubuhan perniagaan ini adalah untuk menampung kos pengurusan dan keperluan 50 pelajar serta tiga guru di tahfiz yang ditanggung sepenuhnya oleh pihak pengurusan tahfiz tersebut.
“Tahfiz terbabit ditubuhkan oleh keluarga saya sejak lima tahun lalu dan kos operasi bergantung sepenuhnya kepada hasil sumbangan orang ramai, jadi kami mengambil inisiatif menubuhkan perniagaan ini untuk membantu membiayai tahfiz itu,” katanya.
Mengenai perancangan akan datang ujarnya, pihaknya akan membuka dua lagi cawangan Ustaz Carwash yang menggunakan konsep sama di Bandar Pusat Jengka, Maran dan Bandar Kerayong, Bera, bulan ini. -K! ONLINE