fbpx

Angkara komisen, bekas pengurus besar didakwa lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Shiou Meng (kanan) bersama salah seorang peguamnya ketika keluar dari Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

KUALA LUMPUR – Seorang bekas pengurus besar kanan sebuah syarikat pembinaan yang pernah didakwa atas pertuduhan meminta rasuah berhubung komisen prestasi kerja Mac lalu, didakwa sekali lagi atas pertuduhan sama membabitkan nilai RM112,000 empat tahun lalu.

Bagaimanapun tertuduh Chua Shiou Meng, 49, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan, Shiou Meng didakwa telah secara rasuah meminta untuk dirinya suatu suapan daripada pemilik sebuah syarikat pembinaan berusia 53 tahun iaitu komisen RM0.50 bagi setiap meter kiub (RM112,000) setiap bulan.

Komisen itu sebagai dorongan untuk tertuduh tidak memberikan laporan prestasi kerja yang kurang baik dan boleh menyebabkan kontrak syarikat itu dibatalkan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah restoran di Bukit Jalil, di sini, pada bulan Julai 2017 mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM Fadhli Ab. Wahab memohon supaya kes dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam untuk dibicarakan bersama dengan kes lain yang dihadapi tertuduh.

“Kes yang dihadapi tertuduh di sini turut melibatkan tiga lagi pertuduhan di mahkamah Shah Alam dan dalam siasatan sama. Saksi yang akan dipanggil juga merupakan saksi sama,” katanya.

Menurut Fadhli, berhubung dengan jumlah ikat jamin, pihak pendakwaan mohon ia ditetapkan di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Tarikh 22 April ini ditetapkan untuk sebutan semula kes di Mahkamah Seksyen Shah Alam.

Dalam prosiding itu,  tertuduh diwakili peguam, Datuk Krishnan Kesavan Nair dan Nik Ahmed Asraf Nik Othman. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI