JOHOR BAHRU – Hasrat pasukan Johor Darul Ta’zim II (JDT II) untuk mengekalkan rekod menang semua perlawanan liga di halaman sendiri kecundang apabila diikat tanpa jaringan oelh Selangor FC II di Stadium Tan Sri Hassan Yunos Larkin, malam ini.
Beraksi di hadapan 215 penonton, skuad Harimau Selatan lebih banyak mendominasi penguasaan bola berbanding pasukan pelawat dan lebih berbahaya dalam melakukan serangan ke gawang lawan.
Pasukan bimbangan Rafael Sanchez hampir membuka jaringan seawal minit kelima namun Fernando Rodriguez yang sudah melepasi terpaan penjaga gawang mensia-siakan peluang terhidang apabila rembatannya jauh tersasar dari gol lawan.
Pada minit ke-13, giliran pasukan pelawat pula menguji benteng terakhir pasukan JDT menerusi percubaan Ikhwan Mohd. Hafizo tetapi rembatan jarak jauhnya sedikit tersasar.
Nicolas Fernandez hampir meletakkan skuad Harimau Selatan di hadapan pada minit ke-30 namun ketangkasan Sikh Izhan Sikh Azman berjaya menyelamatkan percubaan yang terbias pemain pertahanannya.
Penyerang import Selangor II, George Attram membazirkan peluang keemasan untuk memecahkan kebuntuan pada minit akhir babak pertama setelah percubaannya dalam kotak penalti sekadar tepat ke dakapan Izham Tarmizi Roslan.
Bersambung babak kedua, permainan dilihat seimbang dengan kedua-dua pasukan masing-masing mencari peluang untuk mendapatkan gol pendahuluan.
Pada minit ke-53, Danial Amier Norhisham mencuri peluang dalam kekalutan di kotak penalti lawan tetapi percubaannya tidak mendatangkan bahaya kepada pasukan Selangor II.
Pertukaran pemain yang dibuat oleh kedua-dua ketua jurulatih pasukan bagi memberi suntikan tenaga baru tidak mengubah keputusan perlawanan yang berakhir tanpa jaringan.
Sikh Izhan muncul wira Selangor II apabila menidakkan percubaan berbahaya Hazwan Bakri dan Fernando di minit akhir permainan bagi memastikan pasukan berjaya mencuri satu mata.-K! ONLINE