JOHOR BAHRU – Persatuan Doktor-Doktor Johor (PDDJ) menyumbang peranti ruang isolasi kepada Hospital Sultan Ismail (HSI) dalam usaha membantu hospital itu memerangi pandemik Covid-19 dengan lebih berkesan.
Presidennya, Dr. Ng Kim Fong berkata, ruang isolasi yang bernilai RM80,000 itu dihasilkan syarikat tempatan iaitu Joncan Composites Sdn. Bhd.
Menurutnya, ruang itu merupakan satu ruangan kerja berbentuk silinder yang memiliki tekanan negatif dan pintu tertutup.
“Kami percaya usaha memerangi pandemik Covid-19 akan berjaya bukan hanya dengan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP), tetapi juga dengan akses kepada kemudahan berteknologi tinggi.
“Ruang isolasi ini dilengkapi dengan pelbagai peranti perubatan, dimana doktor dan paramedik berupaya melakukan rawatan kepada pesakit Covid-19 tanpa dibimbangi berlaku penyebaran wabak itu kepada pesakit lain,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Penyerahan Ruang Isolasi itu di HSI, di sini hari ini.
Turut hadir, Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan, Kementerian Kesihatan, Dr. Ahmad Razid Salleh dan Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Perubatan Kesihatan Johor, Dr. Sukhaila Daros.
PDDJ merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan pada 2017 dan dianggotai doktor perubatan, ahli farmasi, jururawat, penuntut bidang perubatan serta masyarakat umum dari seluruh Johor.
Tambah Kim Fong, pihaknya berharap sumbangan itu akan dapat membantu usaha kerajaan dalam memerangi pandemik Covid-19 dengan lebih berkesan.-K! ONLINE