fbpx

Nikahi Janna? Masih terlalu awal – Dini Schatzmann

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DINI SCHATZMANN

DINI. Satu nama yang cukup ringkas dan mudah diingat. Memilih terjun dalam dunia seni lakonan kendatipun memiliki pendidikan formal yang jauh lebih terjamin tidak pernah memutikkan rasa sesal buat pendatang baharu itu untuk melestarikan apa yang diminati.

Pakej lengkap yang dikurniakan membuatkan siapa sahaja memandangnya pasti tidak keruan. Wajah tampan berdarah kacukan Melayu-Switzerland dengan ketinggian melebihi 175 sentimeter (sm) dilihat membuka ruang mudah untuk pelakon kacak itu menjual bakatnya dalam pelbagai lapangan dunia seni.

BARU beberapa tahun bergelar pelakon, kemunculan Dini dalam industri lakonan semakin dikenali.

Menjadi seorang pelakon sejurus tamat pengajian dalam bidang Kejuruteraan Material di Universiti of British Columbia, Kanada, pemilik nama sebenar Dini Azan Schatzmann itu mula mencipta nama tersendiri.

“Memang tidak dinafikan ramai yang beranggapan keputusan saya untuk terjun dalam bidang lakonan sebagai satu perkara yang merugikan.

“Namun tidak bagi saya. Keputusan untuk melibatkan diri dalam arena seni lakonan memang impian dan minat saya sendiri. Jujur tidak pernah rasa menyesal langsung atau sia-sia,” tuturnya membuka bicara bersama Pose.

BERBEKALKAN rupa paras kacak dan tinggi, Dini mudah menambat perhatian rumah produksi untuk menawarkannya peluang berlakon.

Jelas Dini, keputusannya pulang ke tanah air pada Mei 2018 selepas lima tahun menghabiskan pengajian merupakan satu perkara yang tepat.

“Saya bersyukur kerana ibu orang yang bertanggungjawab membantu memperkenalkan saya dengan beberapa pengarah dan penerbit selepas tamat pengajian.

“Jadi, tiga tahun lalu saya nekad pulang ke Malaysia dan mengikuti kelas lakonan serta kursus bahasa Melayu untuk memantapkan penguasaan bahasa,” katanya yang beranggapan kerjaya sebagai pelakon ada cabaran tersendiri untuk ditempuh.

Lupa diri

Model pentas peragaan itu menyifatkan laluan kerjaya lakonannya sangat mudah. Dia tidak perlu menunggu lama untuk dikenali.

Ujarnya, dia sendiri adakalanya masih tidak percaya dengan peluang dan ruang yang diterimanya ketika ini cukup cepat dan pantas.

BERDARAH kacukan Melayu-Switzerland, namun Dini fasih bertutur dalam beberapa bahasa dengan fasih seperti Melayu, Perancis, Arab, Mandarin dan Inggeris.

Melihat kepada corak penerimaan khalayak, anak bongsu daripada dua beradik itu berharap momentum kariernya dapat dikekalkan.

“Tipulah kalau saya kata tidak seronok. Impian untuk bergelar pelakon dan anak seni tercapai dan jadi kenyataan dalam sekelip mata.

“Pun begitu, saya sentiasa mengingatkan diri sendiri agar tidak sesekali hanyut dan lupa diri tatkala populariti sedang menyinggah.

AKUI Dini, dia tidak sangka perjalanan karier lakonannya diterima dan dipermudahkan hingga ke hari ini.

“Jadi, apapun yang dikecapi, saya terima dengan hati yang terbuka. Pada masa sama, saya akan terus belajar dan menimba segala ilmu tanpa kenal erti lelah,” ujarnya yang mula menjadi fenomena dan perhatian peminat drama tempatan menerusi watak pembantu dalam naskhah perdananya, Cik Reen & Encik Ngok Ngek.

Tambah lelaki berzodiak Libra itu lagi, niatnya untuk menyertai bidang glamor bukan disebabkan dahaga akan populariti, tetapi mahu memeriahkan industri seni dengan bakat yang ada.

Nikah

Tiada rahsia lagi, umum mengetahui Dini merupakan kekasih hati kepada pelakon yang juga pengacara sensasi, Janna Nick.

Akuinya, dia selesa apabila bersama dengan Janna dan menerima kehadiran cinta hatinya itu sebagai sesuatu yang istimewa dalam hidupnya.

NIKAH? Nanti dulu. Dini mengakui selesa dan masih dalam proses mengenali hati budi kekasihnya, Janna Nick. Keluarga juga memberi sokongan dan restu dengan perhubungan mereka.

“Berkenaan Janna, dia merupakan seorang yang amat serius dan profesional dalam hal-hal kerja yang dilakukannya.

“Tetapi pada masa sama, dia seorang pasangan yang amat lembut hati dan bertimbang rasa dalam apa jua perkara. Dia jugalah yang mahu saya terus fokus dengan jalan yang dipilih sekarang,” ujarnya lagi.

Ditebak mengenai desas-desus mereka akan menamatkan zaman bujang menerusi ikatan pernikahan, Dini lantas menjawab, masih belum ada tarikh khusus ke arah itu.

KATA Dini, buat masa ini dia dan Janna mahu fokus terhadap karier masing-masing sebelum membawa hubungan mereka ke alam perkahwinan.

“Klise tetapi ini realiti. Biarlah kami fokus terhadap karier masing-masing terlebih dahulu. Soal pernikahan, masih terlalu awal buat kami.

“Cukup kedua-dua belah keluarga menerima dengan hati terbuka dan memberikan sokongan sepenuhnya kepada hubungan yang kami jalinkan, itu sudah memadai,” ujarnya.

Menyambung perbualan, pelakon drama Marry Me Senorita itu memasang impian dan angan-angan untuk membawa watak aksi jika diberikan peluang kelak.

Mengakhiri bicara, Dini sempat berkongsi perkembangan terkininya yang baru sahaja tamat penggambaran drama Sepi Itu Pasti dan sedang sibuk di set bagi sebuah telefilem terbitan Astro.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI