TOKYO – Seorang nenek berusia 90 tahun di Jepun mencatat sejarah apabila dia diiktiraf Guinness World Records sebagai pengurus pejabat paling tua di dunia, lapor agensi berita United Press International (UPI) kelmarin.
Yasuko Tamaki yang bakal menyambut ulang tahun kelahiran ke-91 pada 15 Mei ini, masih bekerja lima hari seminggu di Sunco Industries selama tujuh jam 30 minit sehari.
“Saya telah melakukan apa yang saya perlu lakukan dalam tempoh 90 tahun ini, jadi saya tidak tahu apa yang perlu dikatakan. Saya amat terharu,” ujarnya ketika menerima sijilnya.
Tambah Takami, khidmat pekerjaannya yang lama di syarikat itu datang secara semulajadi.
“Saya rasa ia adalah satu perkembangan. Saya selalu berfikir yang saya dilahirkan untuk membantu orang lain.
“Jadi, saya ingin melakukan perkara-perkara yang akan membuatkan pengerusi, pengurus dan pekerja lain gembira. Ia akan kekal sebagai matlamat hidup saya,” katanya.
Pada masa ini, Takami tidak mempunyai perancangan untuk bersara.
“Apabila satu tahun berakhir, akan muncul lagi tahun baharu. Jadi, saya berharap ia akan berterusan seperti itu,” ujarnya. – Agensi