AKSI pusingan akhir Kejohanan Malaysia Esports Series (MES) 2021 kategori PlayerUnknown’s Battleground Mobile (PUBGM) yang menawarkan hadiah keseluruhan sebanyak RM40,000 berlangsung dengan cukup sengit malam kelmarin.
Sepanjang lebih empat jam bertarung di semua empat peta PUBGM seperti Erangel, Vikendi, Sanhok dan Miramar, pencarian juara edisi pertama Kejohanan MES akhirnya menjadi milik pasukan Meteor HG.
Skuad Meteor HG berjaya meraih 53 mata untuk meraih kemenangan tipis sekali gus menafikan cabaran sengit yang diberikan oleh dua pencabar terdekat, FE Terminator di tempat kedua (52 mata) dan Arov Detonatorz (51 mata).
Kemenangan tersebut membolehkan pasukan Meteor HG membawa pulang hadiah utama iaitu wang tunai sebanyak RM15,000.
Meteor HG dalam satu kenyataan mengakui sangat berbangga dapat menjuarai Kejohanan MES edisi 2021 selain percaya ini adalah permulaan yang baik untuk pasukan.
“Syukur, alhamdulillah. Meskipun tidak sampai setahun ditubuhkan, pasukan Meteor HG berjaya meraih gelaran juara Kejohanan MES yang cukup berprestij.
“Apa yang pasti, ini baru permulaan dan saya harap kami akan terus fokus untuk mengharungi kejohanan-kejohanan utama selepas ini,” kata pasukan itu dalam satu kenyataan.
Sementara itu, kapten kepada pasukan FE Terminator, Muhammad Ridzuan Talib mengakui sangat teruja dengan pencapaian pasukan selain menganggap status naib juara adalah sesuatu yang boleh dibanggakan.
“Kami berpuas hati dengan permainan pasukan pada pusingan akhir dan mengenai pungutan mata adalah sesuatu yang sukar untuk dijangka.
“Namun, saya percaya semua sudah memberikan yang terbaik dan bukan rezeki kami untuk bergelar juara. Apa yang pasti kami tidak akan mengalah dan akan terus meningkatkan prestasi dari masa ke semasa,” katanya.