GEORGE TOWN – Seorang lelaki dilaporkan tidak sedarkan diri sebelum meninggal dunia ketika melakukan aktiviti mendaki bukit di Botanical Garden, Tanjung Bungah di sini hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 6.02 petang sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
“Apabila pasukan bomba tiba, dimaklumkan terdapat seorang mangsa lelaki telah pengsan di atas bukit semasa aktiviti mendaki.
“Bomba bersama wakil Kementerian Kesihatan (KKM) menaiki sebuah pacuan empat roda untuk ke lokasi kejadian,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata, pegawai KKM kemudiannya mengesahkan mangsa berusia 50-an meninggal dunia dan mayat dibawa turun ke kaki bukit sebelum diserahkan kepada pihak polis.
“Operasi yang dijalankan oleh pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Jermal itu ditamatkan pukul 8.25 malam,” katanya.
Difahamkan punca kematian mangsa masih dalam siasatan pihak berkuasa. – K! ONLINE