KOTA BHARU – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) melantik 10 pegawai khas bagi memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19 dalam agensi itu.
Yang Dipertua Maik, Tan Sri Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, pendekatan itu dilakukan untuk mengawasi penjarakan fizikal dalam kalangan warga kerja agensi tersebut sebagai iktibar susulan tercetusnya kluster tempat kerja di beberapa tempat di Kelantan baru-baru ini
Katanya, pihak Maik turut melantik pegawai dengan peranan sama bagi memantau pematuhan SOP di 17 masjid negeri di seluruh Kelantan sebelum dikembangkan di masjid-masjid mukim dalam masa terdekat.
“Pegawai yang dilantik itu akan memantau secara bergilir-gilir bagi memastikan semua warga kerja Maik mematuhi SOP.
“Pegawai yang memantau masjid pula berperanan untuk mendidik masyarakat mematuhi SOP seperti ketetapan dikeluarkan Maik membabitkan masjid, surau dan musolla seluruh negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akbar selepas menyempurnakan Majlis Amanat Kepada Imam-Imam Seluruh Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim di sini.
Hadir sama, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad.
Sementara itu, Tengku Mohamad Rizam turut menggesa semua imam dan pegawai masjid turut memainkan peranan lebih berkesan dalam memastikan semua aktiviti mengimarahkan masjid mengikut SOP ditetapkan.