JEMPOL – Lima premis bitcoin diserbu dalam Op Bitcoin Operasi Bersepadu oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol dan pasukan seal Tenaga Nasional Berhad (TNB) Selatan di tiga lokasi berasingan, di sini, semalam.
Dalam intipan serta serbuan dari pukul 10.30 pagi hingga 11.30 mlm, polis berjaya merampas 190 unit mesin perlombongan bitcoin jenis Aintminer D9i dengan nilai anggaran rampasan RM380,000.
Menurut Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook, kesemua rampasan telah di bawa balik ke IPD Jempol untuk tindakan lanjut dan usaha mengesan pemilik premis akan di lakukan bagi membantu siasatan.
“Sindiket terbabit dikesan menyasarkan bangunan sunyi sebagai premis dan melakukan penyambungan haram keatas bekalan elektrik bagi tujuan operasi.
“Modus operandi sindiket ini menggunakan premis tingkat atas sebagai kegiatan perlombongan Bitcoin bagi mengelakkan disedari pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, pagi ini.
Chang Hook berkata, kesemua premis ini dipercayai beroperasi antara dua hingga empat bulan sehingga menyebabkan TNB mengalami kerugian sebanyak RM216,487.
“Antara lokasi serbuan ialah di Pusat Perniagaan Ara Bandar Ioi, Pusat Komersil Bahau dan Pusat Perniagaan Seraya.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana curi bekalan elektrik, 427 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan khianat dan Seksyen di bawah Akta Bekalan Elektrik 1990. K! ONLINE