SEBOLEHNYA setiap lelaki tidak mahu memiliki tubuh yang gemuk dengan perut buncit. Namun berbeza bagi kaum lelaki muda suku Bodi di Ethiopia yang menyasarkan untuk memiliki tubuh yang gemuk.
Suku Bodi yang mendiami kawasan terpencil di Lembah Omo, Ethiopia mengamalkan ritual pelik di mana pemuda-pemuda akan meminum darah dan susu lembu bagi mendapatkan tubuh yang gemuk.
Pemuda yang dinobatkan sebagai paling gemuk akan diangkat sebagai pahlawan sepanjang hayatnya dan ritual itu disambut sempena sambutan tahun baharu dikenali sebagai Ka’el yang diraikan suku Bodi antara bulan Jun dan Julai.
Tempoh enam bulan diperlukan oleh para pemuda itu untuk mengamalkan rejim minum darah dan susu lembu sebelum mereka akan mempamerkan fizikal untuk dipilih sebagai pemenang.
“Pertandingan ini bermula enam bulan sebelum upacara Ka’el. Setiap keluarga diizinkan untuk menghantar anak lelaki yang belum berkahwin untuk acara tersebut.
“Setelah dipilih, mereka akan ditempatkan di sebuah pondok dan tidak boleh bergerak bebas atau melakukan hubungan seks selama tempoh itu,” jelas lelaki dari Perancis, Eric Lafforgue yang sempat menghabiskan masa dengan suku Bodi sewaktu menjelang upacara Ka’el.
Makanan yang mereka makan terdapat dalam bentuk campuran darah dan susu lembu iaitu hidangan yang selalu disajikan kepada kaum lelaki oleh para wanita di kawasan tersebut.
Lafforgue menjelaskan, lembu adalah suci bagi suku Bodi dan haiwan itu tidak akan dibunuh.
“Darah diambil dengan membuat lubang pada bahagian vena haiwan itu dengan menggunakan tombak atau kapak. Setelah itu mereka akan menutupnya dengan tanah liat,” katanya.
Dalam pada itu, para pemuda tersebut harus meminum semangkuk darah dan susu sebanyak dua liter dengan cepat sebelum membeku dan tidak semua sempat menghabiskan minuman itu dengan cepat bahkan ada yang memuntahnya kembali.
Ketika hari perayaan tersebut, para lelaki yang menjalankan ritual tersebut juga akan melumur badan mereka dengan tanah liat dan abu sebelum keluar dari pondok. Mereka akan berjalan kaki ke tempat di mana upacara itu akan berlangsung.
“Beberapa lelaki menjadi gemuk dengan begitu besar sehingga mereka tidak dapat berjalan lagi.
“Salah seorang pemuda itu bertanya kepada saya apakah dia boleh menumpang kereta saya untuk ke kawasan upacara. Kemudian, sewaktu di dalam kereta, dia masih minum susu dan darah kerana ingin terus berusaha menjadi yang paling gemuk hingga saat-saat akhir,” jelas Lafforgue.
Pada upacara itu, para lelaki tersebut perlu menghabiskan berjam-jam berjalan di bulatan mengelilingi pokok suci sambil diawasi oleh lelaki-lelaki lain. Wanita pula akan membantu mereka untuk membersihkan peluh selain memberi minuman alkohol.
Setelah lelaki paling gemuk dipilih, upacara akan berakhir dengan penyembelihan seekor lembu menggunakan batu suci yang besar.
Kemudian, ketua-ketua suku Bodi memeriksa perut dan darah pemenang itu untuk melihat adakah masa depannya akan cerah atau tidak.
Selesai upacara, kehidupan lelaki gemuk itu kembali normal dan kebanyakan mereka akan susut perut buncit beberapa minggu kemudian dengan menjaga pemakanan.
“Menjadi orang gemuk ialah impian setiap anak lelaki suku Bodi. Beberapa minggu selepas upacara, hidupnya kembali normal tetapi dia akan tetap dianggap sebagai pahlawan seumur hidup,” kata Lafforgue.