PETALING JAYA – Penyanyi dan usahawan katering, Mila Jirin bernasib baik apabila terselamat dalam satu kemalangan selepas kereta yang dinaikinya bersama keluarga dilanggar sebuah kenderaan lain.
Menerusi satu hantaran yang dimuat naik dalam Instagramnya, Mila atau nama sebenarnya Norsyarmilla Jirin berkongsi keadaan kereta miliknya yang mengalami calar pada bahagian sisi pintu penumpang belakang kenderaan.
“Kena langar semalam. Si pelanggar bawa laju macam nak pergi perang! Nasib baiklah si pelanggar baik budi pekerti.
“Saya dan suami maafkan dia. Tidak sengaja sebab nak cepat untuk makan malam dengan keluarga,” tulisnya.
Dalam hantaran sama, bekas juara Akademi Fantasia musim kelima (AF5) itu turut memanjatkan rasa syukur kerana dilindungi Allah SWT.
“Alhamdulillah Allah SWT lindungi saya dan keluarga. Buat semua yang memandu, hati-hatilah ya. Bahaya bawa laju-laju,” ujarnya sambil meninggalkan emoji berwajah sedih.
Berdasarkan tanda lokasi yang dikongsikan dalam Instagramnya, difahamkan kejadian tersebut berlaku di Johor Bahru, Johor. – K! ONLINE