MELAKA – Gerak kerja yang berstrategi dan bersistematik mampu mengembalikan kedudukan parti UMNO sebagai parti keramat orang Melayu dalam arena politik negara.
Sebagai usaha untuk mengukuhkan kembali kedudukannya sebagai parti terbesar dan utama orang Melayu, UMNO kini mula menyusun strategi untuk memastikan kemenangan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang.
Menyedari hakikat tersebut, UMNO telah melancarkan kursus dan latihan di pelbagai peringkat parti yang dikenali sebagai Bangkit 15 dengan matlamat untuk mencapai kemenangan dalam PRU-15.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, UMNO sentiasa mengambil maklum tentang kancah politik semasa dan sentiasa berusaha sebaik mungkin untuk mencapai misi seperti mana yang dilaungkan dalam perhimpunan tempoh hari.
Sehubungan itu, beliau berkata, kepemimpinan parti di peringkat bahagian sedang menjalani kursus dan latihan persediaan yang dijenamakan sebagai Bangkit 15.
Jelasnya, Bangkit 15 bukan semata-mata instrumen memperkasa jentera untuk pra-pilihan raya sahaja, sebaliknya ia merupakan platform yang mencakupi segala aspek termasuk kebarangkalian ketika PRU-15 berlangsung.
“Kursus latihan yang dinamakan Bangkit 15 ini sudah berlangsung sejak 12 Mac lalu dan ia bermula di Kedah dan Perlis diikuti oleh Wilayah Persekutuan, Selangor dan Perak. Selepas itu Pahang, Negeri Sembilan, Melaka dan di Johor.
“Kita melatih mereka yang mana pimpinan ini akan turun ke bahagian masing-masing untuk melatih pula di peringat cawangan. Kesiapsiagaan jentera itu amat penting bagi menghadapi pilihan raya.
“Inilah tujuan kita buat program ini iaitu untuk menyiapsiagakan mereka. Jadi selepas program ini berakhir saya percaya mereka bersedia untuk menghadapi pilihan raya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Bangkit 15 UMNO Melaka dan Negeri Sembilan di Hotel Lacrista di sini baru-baru ini.
Kursus yang berlangsung selama tiga hari itu dihadiri oleh 252 kepemimpinan bahagian termasuk sayap Wanita, Pergerakan Puteri dan Pemuda.
Bangkit 15 menjadi medium penting untuk mentransformasi kaedah dan strategi kempen tradisional kepada satu strategi bekempen yang lebih kontemporari khususnya melalui penggunaan teknologi maklumat seiring dengan kitaran Revolusi Perindustrian 4.0.
Program tersebut bukan sekadar latihan berbentuk teori tetapi mengutamakan elemen praktikal yang bertujuan untuk menggambarkan suasana pilihan raya sebenar.
“Kemahiran dan pemikiran ke arah teknologi maklumat amat diperlukan oleh setiap ahli parti agar dapat memenangi sesebuah pilihan raya.
“Saya berharap Bangkit 15, akan memberi impak besar kepada semua ahli untuk berdepan dengan ‘perang’ pilihan raya nanti,” ujarnya.