Oleh SALEHUDIN MAT RASAD
KUALA KRAU – “Saya tidak sangka dapat Mykad baharu dalam umur dan keadaan saya begini,” kata Rasib Ali, 71, ketika ditemui selepas menerima kad pengenalan sempena program Menyemai Kasih Sayang Rakyat (Mekar) di Kampung Orang Asli Paya Sendayan di sini hari ini.
Rasib yang mempunyai 16 orang anak, 47 cucu dan tujuh cicit berkata, dengan keadaan kesihatannya yang tidak menentu serta tinggal di kawasan pedalaman sememangnya menyukarkannya untuk keluar ke bandar bagi mendapatkan kad pengenalan baharu.
“Sebelum ini saya hanya melihat kad pengenalan baharu anak dan cucu, hari ini saya dapat melihat kad pengenalan saya sendiri.
“Terima kasih kepada kerajaan dan semua yang terlibat membantu saya dan penduduk kampung mendapatkan kad pengenalan baharu yang amat bermakna ini,” katanya pada majlis penyerahan Mykad dan Outreach Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bersama masyarakat Orang Asli di Kampung Paya Sendayan hari ini.
Seramai 15 warga emas di Kampung Sendayan di sini menerima kad pengenalan baharu yang disampaikan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ismail Mohamed Said.
Yang hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Saadun Othman dan Pengarah JPN Pahang Juzilawati Kamarudin.
Menurut Rasib, program tersebut di perkampungan Orang Asli sangat membantu warga emas yang uzur dan sukar keluar ke bandar bagi tujuan mengganti kad pengenalan baharu.
Sementara itu Ismail berkata, program ini membawa impak yang positif bagi membantu penduduk yang layak dikeluarkan dokumen pengenalan diri yang sah untuk membolehkan mereka menikmati pelbagai kemudahan sebagai warganegara.
Justeru, beliau berkata program itu akan diteruskan malah diperluaskan ke semua kawasan pedalaman dan perkampungan orang asli.
“Pada tahun ini JPN Pahang sahaja telah melaksanakan 18 program Mekar dan 58 permohonan gantian Mykad baharu,” ujarnya. – K! ONLINE