PETALING JAYA – Susulan jadual kerja yang padat sehingga akhir tahun, pengacara dan pelakon Janna Nick mendedahkan dirinya mengalami tekanan sekali gus menganggu emosinya sejak kebelakangan ini.
Perkara mengejutkan tersebut dikongsi sendiri oleh Janna atau nama sebenarnya Nurul Jannah Muner dalam satu hantaran Instagram hari ini yang memaparkan dia sedang memandu kereta dalam keadaan menangis.
“Saya jenis yang suka bekerja dan tidak boleh duduk diam sahaja. Malah, jadual saya padat hingga hujung tahun ini dan walaupun badan penat tetapi otak saya kata tidak.
“Bayangkan saya duduk seorang, tak buat apa-apa tapi lima, enam suara dalam kepala memberi idea berbeza untuk bekerja,” tulisnya dalam entri berkenaan.
Akui pelakon drama Marry Me Senorita itu, kesemua kegembiraan yang dipaparkan kepada umum hanyalah palsu semata-mata.
“Ini realiti palsu yang saya cipta untuk buat nampak gembira dan ada kehidupan sempurna. Kegembiraan ini juga hanya cuma topeng untuk menutup rasa tidak bahagia yang pernah saya lalui.
“Saya hanya manusia biasa yang mahu hidup normal. Saya tak suka bercakap dan tidak suka berjumpa orang.
“Dahulu jika tidak gembira, saya boleh cari sebab mengapa perkara itu terjadi tetapi sekarang apabila saya gembira, otak pula tak izinkan saya berehat,” ujarnya.
Dalam pada itu, teman wanita kepada pelakon Dini Schatzman itu memberitahu agar semua pihak tidak khuatir tentang situasi dirinya.
“Saya tahu bahawa ini adalah masalah diri sendiri tetapi jangan risau saya akan memperbaikinya.
“Saya tidak perlukan pendapat sesiapa dan tak perlukan orang faham saya. Selain itu, saya juga gagal memahami minda sendiri. Saya cuma perlukan rehat,” katanya lagi.
Sebelum ini, Janna juga pernah terpalit dengan kontroversi selepas dia didakwa sengaja mempersenda nama salah seorang ahli kumpulan Blackpink dalam drama arahannya, Delen. – K! ONLINE