NEELOFA, sepotong nama yang tidak pernah sepi daripada kontroversi dan pencapaian.
Bermula dengan gelaran Dewi Remaja 2009/2010, satu demi satu karunia diraihnya, tidak kiralah di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.
Jadi tidak hairanlah, jika sehingga ke hari ini, dia dilihat berdiri dalam liga tersendiri.
Pernah terlintas dalam benak fikiran penulis sama ada populariti yang dimiliki pemilik nama lengkap Noor Neelofa Mohd. Noor akan memudar selepas mendirikan rumah tangga dengan pendakwah bebas Haris Ismail pada 27 Mac lalu.
Sangkaan tersebut meleset sekelip mata selepas namanya terus meledak susulan penyalahgunaan permit rentas negeri susulan lawatan kerja di Pulau Langkawi dan isu pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) majlis perkahwinannya.
Tidak pernah sunyi
Dalam tempoh dua minggu kebelakangan ini, hampir setiap hari namanya menjadi bualan netizen sehingga berkali-kali sohor kini dalam media sosial.
Bertalu-talu kecaman yang diraihnya sehingga hari ini, namun tidak sekalipun wanita berumur 32 tahun itu berganjak daripada pegangan dan di mana letaknya pegangan diri. Dia teguh sebagai Neelofa.
Jika dihitung, Neelofa boleh dikatakan selebriti yang paling banyak dilaporkan oleh pihak media dan diperkatakan netizen sejak Januari tahun lalu.
Hampir saban hari pasti ada sahaja berita tentangnya termasuklah kisah ahli keluarganya yang turut digelar sebagai ‘Kardarshian Kelantan’.
Adik-beradiknya seperti Noor Nabila, Ameera Khan dan ibunya Noor Kartini juga antara yang sering menjadi perhatian media.
Setiap gerak-geri dan majlis yang berlangsung dalam keluarga pemilik jenama Naelofar itu tidak pernah terlepas daripada menjadi bahan bualan masyarakat.
Paling mendapat perhatian ialah isu mempatenkan cap dagangan dagangan harimau menangis, pernikahan kakaknya Noor Nabila dengan Engku Emran dan krim punggung bernilai ribuan ringgit. Kedengaran remeh tetapi itulah yang diperkatakan ramai.
Begitulah impak populariti keluarganya di mata masyarakat. Semakin banyak kecaman, semakin terkenal keluarganya pada mata rakyat Malaysia.
Bergelar isteri
“Alhamdulillah, tidak perlu ulas banyak-banyak semua itu, segalanya baik,” katanya selepas menunjukkan gaya jari thumbs up sebagai tanda okey.
Itulah jawapan ringkas wanita berniqab itu ketika ditanya pengalamannya bergelar isteri.
Sejak hubungannya dengan Haris dihalalkan pada 27 Mac lalu, setiap gerak-geri pemilik anugerah Bintang Paling Popular ke-29 sentiasa menjadi bahan sorotan ramai.
Malah, dia juga dilihat lebih terbuka untuk melakukan aksi romantis di hadapan khalayak ramai.
Momen sebegitu lebih membuatkan peminatnya tidak sabar untuk menunggu berita kehamilan daripada pasangan tersebut meskipun usia perkahwinan baru sahaja mencecah usia dua minggu.
Masakan tidak, Neelofa pernah menyuarakan hasrat untuk menimang cahaya mata dalam masa terdekat.
“Seperti mana jodoh, perihal zuriat juga saya serahkan kepada aturan Allah.
“Jika diberikan rezeki dalam masa terdekat, saya terima dengan tangan terbuka,” tuturnya dalam satu kenyataan pada hari perkahwinannya baru-baru ini.
Langgar SOP
Dipalit kontroversi sehingga menjentik kenyataan daripada Ketua Polis Diraja Malaysia (PDRM), heroin Azura memohon diberi ruang menyelesaikan segala kekecohan secara tertutup, tenang dan profesional.
“Saya menghormati semua yang hadir yang tentunya ingin mengajukan soalan tentang isu berkenaan.
“Tetapi saya meminta kepada rakan media supaya dapat memberi saya ruang bagi menyelesaikan permasalahan ini secara profesional,” tuturnya kepada pihak media pada majlis menandatangai Memorandum
Persefahaman (MoU) antara The Noor dan syarikat selipar, Fippers pada Selasa lalu.
Diasak dengan soalan berkaitan isu tersebut, bekas pengacara MeleTOP itu enggan mengulas panjang. Katanya bimbang akan memudaratkan keadaan.
“Saya tidak mahu mengulas panjang kerana boleh memudaratkan keadaan. Beri saya ruang untuk selesaikan secara baik, profesional dan tenang tanpa tekanan daripada mana-mana pihak.
“Lagi pun, tidak perlu untuk saya memberi penjelasan secara terperinci mengenai apa yang bakal dilakukan. Beri saya ruang untuk selesaikan sendiri dengan pihak yang berkenaan,” ujarnya.
Sehingga detik nukilan ini ditulis, siasatan pihak berkuasa terhadap duta Lancome Asia belum Tenggara itu masih belum menemui titik noktah.
Neelofa juga telah hadir memberi keterangan kepada PDRM, namun isu yang tercetus kekal menjadi bualan netizen yang masih ternanti-nanti pengakhiran kes tersebut.