PUTRAJAYA – Program Dapur It’am anjuran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) akan kembali beroperasi sempena Ramadan bermula Selasa ini hingga 12 Mei depan.
Jawi dalam kenyataan berkata, sejumlah RM2.1 juta diperuntukkan bagi program itu yang dijangka dapat memanfaatkan seramai 315,000 orang di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
Menurutnya, bantuan berbentuk pek makanan juadah berbuka puasa itu akan diagihkan masing-masing di 60 buah masjid dan surau di Kuala Lumpur; Labuan (enam) dan Putrajaya (empat).
“Kami akan mengagihkan 10,500 pek makanan iftar setiap hari sepanjang 30 hari bulan Ramadan ini.
“Antara penerima dikenal pasti adalah golongan B40, Projek Perumahan Rakyat (PPR), Projek Perumahan Awam, petugas barisan hadapan keselamatan dan kesihatan serta rakan kejiranan bukan Islam,” katanya.
Katanya, pihaknya turut melantik 15 orang bagi setiap masjid dan surau bagi melancarkan agihan pek makanan berkenaan.
Jelasnya lagi, Jawi berharap agihan juadah berbuka puasa itu dapat meringankan beban golongan yang memerlukan.
Program agihan juadah berbuka kali pertama dilaksanakan Jawi pada Ramadan lalu yang memberi tumpuan kepada golongan gelandangan, asnaf dan B40. – K! ONLINE