fbpx

PKP dan PKPD di tiga lokaliti di Sabah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Kerajaan hari ini bersetuju untuk mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa lokaliti yang mencatatkan peningkatan kes positif harian Covid-19 di Sabah.

Antara kawasan yang dikenakan PKP adalah di daerah Lahad Datu, PKPD di Kampung Muhibbah Raya di Tawau dan Kampung Bukit Belacon, Mukim Segama, Lahad Datu.

Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini mengesahkan bahawa sebanyak 103 kes positif telah direkodkan dalam tempoh 14 hari di daerah Lahad Datu selain terdapat 49 sampel ujian saringan masih menunggu keputusan.

“KKM turut memaklumkan tentang berlakunya peningkatan mendadak kes positif harian Covid-19 dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi dan setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKP di daerah Lahad Datu, Sabah berkuat kuasa esok sehingga 24 April depan.

“Pelaksanaan PKP ini adalah untuk memastikan bahawa kadar infeksi berada dalam keadaan terkawal serta tidak menular ke kawasan lain,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut memaklumkan tentang pelaksanaan PKPD di Kampung Muhibbah Raya di Tawau, Sabah susulan terdapatnya penularan kes selain kadar kebolehjangkitan yang tinggi.

“Sebanyak 113 ujian saringan telah dilakukan dan daripada jumlah itu, secara kumulatifnya sebanyak 30 kes positif Covid-19 dilaporkan di Kampung Muhibbah Raya dan setelah membuat penilaian risiko, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di lokaliti tersebut berkuatkuasa esok hingga 24 April depan.

“Turut dikenakan PKPD bermula esok hingga 24 April adalah Kampung Bukit Belacon, Mukim Segama, Lahad Datu selepas KKM mengesahkan terdapat peningkatan ketara kes dalam tempoh seminggu dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi,” jelas beliau.

Tambahnya, sebanyak 543 ujian saringan telah dilakukan dan secara kumulatifnya sebanyak 26 kes positif Covid-19 telah dilaporkan. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI