fbpx

PH akan serah memorandum mohon Parlimen dibenar bersidang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Parlimen.

PETALING JAYA – Satu memorandum yang ditandatangani oleh semua Ahli Parlimen bagi menyokong pembukaan semula Parlimen akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi memohon perkenan baginda agar Parlimen dibenar bersidang semula.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menerusi satu kenyataan bersama hari ini berkata, penyerahan memorandum itu adalah senafas menjunjung titah nasihat Al-Sultan Abdullah bahawasanya darurat tidak menghalang Parlimen untuk bersidang.

“Pemukiman Pakatan Harapan (PH) di Port Dickson yang baru sahaja selesai telah memberi semangat baharu kepada pucuk pimpinan untuk bangkit semula dengan semangat perpaduan dan iltizam bagi meneruskan usaha reformasi negara.

“Kami akan terus berusaha menjuarai aspirasi rakyat dengan mengambil pendekatan ‘Khemah Besar’ untuk menyatupadukan rakyat dari pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira pegangan politik dan ini penting bagi memulihkan kembali sistem demokrasi berparlimen dengan menamatkan penggantungan Parlimen,” katanya.

Jelas kenyataan itu, bagi mencapai perkara tersebut (memulihkan sistem demokrasi berparlimen) satu memorandum yang ditandatangani oleh semua Ahli Parlimen yang menyokong pembukaan semula Parlimen akan dipersembahkan kepada Yang Dipertuan Agong di Istana Negara.

“Kami menegaskan kesediaan untuk berunding dan bekerjasama dengan mana-mana pihak berdasarkan prinsip dan agenda reformasi demi kepentingan rakyat tanpa membabitkan kleptokrat,” ujar kenyataan itu.

Terdahulu, Kosmo! pada 25 Februari lalu melaporkan bahawa Al-Sultan Abdullah menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata,persidangan itu akan berkuatkuasa pada suatu tarikh difikirkan sesuai oleh Seri Paduka atas nasihat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Perkara itu termaktub di dalam sub perenggan 14(1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa- Kuasa Perlu) 2021 yang menyatakan bahawa Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka atas nasihat Perdana Menteri.

“Oleh itu, tanggapan sesetengah pihak bahawa pelaksanaan proklamasi darurat menghalang Parlimen untuk bersidang adalah tidak tepat,” katanya menerusi satu kenyataan dikeluarkan Istana Negara. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI