Oleh AZIZAN HASHIM
KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) Perak FC, Rizal Ali Naiz Ali enggan pasukannya berputih mata pada aksi yang dianggap cukup klasik apabila dijadualkan menentang Selangor FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malam ini.
Kata Rizal, semua pemain perlu memberikan yang terbaik apabila bertemu dengan skuad Gergasi Merah dalam usaha memburu kemenangan meskipun pasukan dipalit dengan isu di luar padang.
“Pertemuan dengan Selangor mempunyai signifikan istimewa buat pasukan Perak termasuk saya secara peribadi kerana mempunyai banyak memori ketika menentang mereka sejak dahulu lagi.
“Justeru, saya berharap pemain Perak memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap tugasan agar kami pulang dengan kejayaan terutama selepas mereka memiliki momentum dengan kemenangan ke atas UiTM sebelum ini,” kata Rizal ketika ditemui pemberita selepas melawat sesi latihan di Ipoh semalam.
Sementara itu, Rizal turut mengesahkan bahawa kapten pasukan skuad The Bos Gaurus yang juga tonggak pertahanan berpengaruh, Shahrul Mohd. Saad masih tidak dapat diturunkan kerana mengalami kecederaan pangkal paha.
“Dia dijangka berehat selama dua minggu dan pihak pengurusan juga sudah menghantaranya ke sebuah pusat rawatan di Kuala Lumpur untuk menjalani pemulihan lebih rapi di sana,” katanya.
Apa yang pasti, skuad kendalian Chong Yee Fatt itu tidak ada masalah untuk mengukuhkan benteng dengan gandingan Mohamad Shakir Hamzah, Mohamad Idris Ahmad, Nazirul Naim Che Hashim dan Muhamad Danish Haziq.