SETIAP insan di dunia ini mengimpikan kejayaan dan tiada seorang pun yang mahu gagal dalam apa jua yang mereka ceburi dalam kehidupan seharian.
Namun, impian dan harapan menggunung dan berkobar-kobar dalam diri sahaja tidak cukup untuk menggenggam sebuah kejayaan tanpa disandarkan dengan usaha dan semangat jitu demi melihat perubahan dalam hidup.
Dalam hal ini, kita mesti tekad dalam hati dengan kata-kata semangat bahawa jika orang lain boleh berjaya, kenapa aku tidak boleh mencapai tahap seperti mereka yang telah mengecapi hidup yang bermakna.
Selain itu, dalam melakukan sesuatu kita mesti mempunyai ilmu. Sebagai contoh, jika kita ingin menceburi dunia perniagaan tidak kira kecil atau besar, mesti berlandaskan ilmu dan tidak boleh dibuat secara semborono sahaja.
Ilmu itu boleh dicari menerusi pelbagai cara termasuk menghadiri seminar atau bertanyakan kepada rakan-rakan yang telah mencapai kejayaan gemilang dalam dunia bisnes diceburi.
Teringat kisah seorang rakan yang mencuba memulakan perniagaan selepas diberhentikan kerja. Mungkin ilmu yang ada tidak cukup menyebabkan perniagaan itu terpaksa diambil alih oleh pihak lain.
Menurut seorang rakan yang berjaya dalam bisnes, untuk menjalankan perniagaan walau sekecil mana pun nampak sahaja mudah, namun ia adalah sukar sebenarnya.
Katanya, selain memiliki modal yang cukup, faktor lokasi perniagaan juga perlu diambil kira kerana boleh menjadi faktor penentu sama ada sesuatu bisnes itu boleh bertahan atau tidak.
Jika apa yang direncanakan tidak membuahkan hasil seperti yang diharapkan, ia berkemungkinan boleh ‘membunuh’ semangat kita untuk terus berusaha ke arah yang lebih baik.
Apabila ia terjadi, kita seolah-olah berputus asa dan kehilangan matlamat atau tujuan yang nyata dan jelas dalam hidup.
Sesungguhnya setiap perjalanan dan perjuangan hidup perlu disertai dengan risiko. Ketika kita dibelenggu perasaan cemas dan takut, tidak perlu lari daripada masalah, tetapi tetap menghadapinya dengan tenang kerana kejayaannya mampu membangkitkan keyakinan diri.
Justeru, gunakan masa silam kita yang jatuh tersungkur sebagai guru paling berguna untuk mengubah kehidupan menjadi lebih baik.
Dalam pada itu, paling penting kita mendampingi mereka yang bekerja keras dalam merealisasikan impian.
Berada dalam lingkungan golongan yang mempunyai arah hidup, optimis dan motivasi diri secara tidak langsung akan menginspirasi dan menimbulkan semangat yang membuak-buak untuk terus berada dalam landasan yang betul untuk berjaya.
Ini kerana, gagal sekali bukan bermakna gagal untuk selama-lamanya.