GRANADA – Manchester United memiliki kelebihan selesa untuk melangkah ke separuh akhir Liga Europa selepas mencatat kemenangan 2-0 ke atas wakil Sepanyol, Granada pada suku akhir pertama di Estadio de Los Carmenes awal pagi semalam.
Bagaimanapun, pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer mempunyai pandangan berbeza kerana skuad bimbingannya bakal menghadapi suku akhir kedua di Old Trafford minggu depan tanpa tiga pemain yang perlu menjalani hukuman penggantungan perlawanan.
Bagi Solskjaer, bekalan dua gol di tempat lawan tidak membawa sebarang makna kepada The Red Devils yang terpaksa mencari jalan menggantikan ketiga-tiga pemain tersebut iaitu ketua pasukan, Harry Maguire, Luke Shaw dan Scott McTominay.
“2-0 adalah satu keputusan yang bagus tetapi ia bukanlah satu perlawanan sempurna kerana kami menerima tiga kad kuning yang membawa maksud penggantungan tiga pemain selepas ini.
“Kami mahu memenangi setiap perlawanan. Kami perlu sentiasa berwaspada kerana dunia bola sepak sangat kejam, anda boleh dihukum dalam sekelip mata sahaja,” katanya.
United berjaya memastikan kemenangan menjadi milik mereka menerusi jaringan Marcus Rashford dalam babak pertama sebelum Bruno Fernandess menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-90.
Ia menyaksikan Rashford muncul pemain England yang pertama menjaringkan lapan gol di pentas Eropah buat The Red Devils sejak kali terakhir dilakukan Sir Bobby Charlton pada 1964/1965.
Sebagai rekod, Liga Europa adalah peluang terakhir United untuk mendakap trofi musim ini selepas ketinggalan 14 mata di belakang pendahulu Liga Perdana Inggeris, Manchester City setelah tewas kepada Leicester City pada suku akhir Piala FA bulan lalu. – AGENSI