fbpx

Hanya tiga lokasi dibenarkan untuk agih makanan pada gelandangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kumpulan, individu atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ingin menyumbang dan membantu golongan miskin serta gelandangan di ibu negara terutamanya pada bulan Ramadan kini hanya dibenarkan untuk berbuat demikian di tiga lokasi yang ditetapkan.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata, tiga lokasi yang dibenarkan itu adalah Pusat Transit Gelandangan, Jalan Pahang; Pusat Khidmat Gelandangan, Medan Tuanku dan Pusat Pembelajaran Komuniti, Jalan Chow Kit.

“Selain daripada tiga lokasi tersebut, kumpulan, individu dan NGO tidak dibenarkan untuk mengagih atau mengedarkan sumbangan makanan di sekitar pusat bandar tanpa kebenaran DBKL.

“Langkah ini diambil bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara, dan Kementerian Kesihatan dipatuhi oleh semua pihak yang terlibat dan tindakan boleh diambil terhadap pihak yang gagal mematuhi arahan ini,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, Kementerian Wilayah Persekutuan dan DBKL telah mengusahakan pelbagai langkah untuk menangani isu gelandangan dengan mewujudkan Pusat Transit Gelandangan dan Pusat Khidmat Gelandangan sebagai tempat golongan tersebut mendapatkan perlindungan sementara termasuk bekalan makanan harian.

“Tidak cukup dengan itu, DBKL juga telah melaksanakan program menyelamatkan gelandangan ini terutamanya ketika negara dilanda Covid-19 yang sedikit sebanyak telah dapat mengurangkan isu lambakan sumbangan makanan yang akhirnya akan membawa kepada pembaziran dan kekotoran.

“Antara lokasi yang sering menjadi tumpuan aktiviti menyumbang bahan makanan yang dikesan sebelum ini adalah di hadapan Bank CIMB jalan Tuanku Abdul Rahman; sekitar Masjid Jamek Bandaraya, Jalan Petaling atau Central Market dan beberapa lokasi lagi,” ujarnya.

Jelas kenyataan itu, aktiviti berkenaan telah menjadikan lokasi-lokasi tersebut sebagai tumpuan gelandangan malahan ada yang telah menjadikan kaki lima bangunan sebagai tempat tidur mereka sehingga menimbulkan kacau ganggu dan ketidakselesaan kepada pemilik premis selain mewujudkan persepsi negatif masyarakat terhadap DBKL.

“Manyedari minat dan keinginan para NGO, kumpulan serta individu untuk terus menyumbang dan membantu golongan miskin juga gelandangan ini terutamanya pada bulan Ramadan, DBKL telah menetapkan agar aktiviti itu hanya dibenarkan di tiga lokasi yang telah dinyatakan sahaja.

“Sehubungan itu, mana-mana NGO, kumpulan atau individu yang ingin menyumbang dan mengagihkan makanan kepada golongan miskin serta gelandangan boleh menghubungi pihak DBKL di talian 03-2617 6321 bagi tujuan kawal selia dan pengaturan jadual pengagihan,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI