LONDON – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta bengang dengan ketumpulan penyudah jentera serangannya yang mensia-siakan banyak peluang untuk menewaskan Slavia Prague pada suku akhir pertama Liga Europa di Stadium Emirates awal pagi semalam.
Sebaliknya, Arsenal memilih jalan yang lebih berisiko apabila membenarkan Slavia meledak gol penyamaan 1-1 pada minit ke-93, sekali gus memberikan kelebihan jaringan tempat lawan kepada wakil Republik Czech itu.
“Slavia bukan calang-calang pasukan kerana pernah menewaskan kelab-kelab besar sebelum ini. Mereka membuktikannya sekali lagi dengan menyukarkan kami untuk mencipta peluang hari ini (awal pagi semalam).
“Bagaimanapun, saya kecewa dengan kegagalan pemain-pemain memanfaatkan setiap peluang yang dimiliki selepas menguasai sebahagian besar perlawanan ini.
“Keputusan akhir ini sangat menyakitkan memandangkan kami perlu beraksi di laman mereka untuk aksi timbal balik nanti,” kata Arteta.
Arsenal terpaksa menunggu sehingga minit ke-86 untuk membuka tirai jaringan menerusi Nicolas Pepe, namun ia tidak bertahan lama apabila Tomas Holes berjaya meledak jaringan penyamaan buat Slavia pada penghujung perlawanan.
Salah satu faktor Arsenal dilihat gagal menewaskan Slavia adalah disebabkan tindakan berani Arteta meletakkan penyerang prolifik yang juga ketua pasukan itu, Pierre-Emerick Aubameyang di bangku simpanan pada awal perlawanan tersebut.
Ia menyaksikan The Gunners kini berdepan misi wajin menang ke atas Slavia dalam aksi suku akhir kedua di Stadium Sinobo pada 16 April ini jika berhasrat untuk menempah tiket ke peringkat separuh akhir musim ini. – AGENSI