PUTRAJAYA – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Zulkifli Mohamad al-Bakri akan melakukan lawatan kerja ke Arab Saudi tidak lama lagi bagi memperincikan urusan haji dan umrah.
Menerusi kenyataan dikeluarkan hari ini, lawatan kerja Zulkifli ke Arab Saudi itu dibuat atas undangan Liga Dunia Islam.
“Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dijadual mengadakan pertemuan mengenai kerjasama dua hala mengenai haji dan umrah.
“Selain itu, kunjungan sama akan membincangkan isu-isu serantau dan antarabangsa mengenai urusan Islam yang menjadi perhatian kedua-dua negara,” katanya.
Katanya, lawatan itu diadakan sesuai dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang ketat dilaksanakan oleh Kerajaan Arab Saudi.
Sebelum ini, Zulkifli berkata, rombongan teknikal diketuainya akan ke Arab Saudi bagi memuktamad SOP kemasukan dan penyelarasan jemaah haji dan umrah Malaysia ke negara itu.
Menurutnya lagi, SOP berkenaan perlu diserahkan kepada kerajaan Arab Saudi untuk diteliti dan mendapat pengesahan, bagi memudahkan jemaah haji Malaysia mengerjakan ibadat tahun ini.
Menteri Kesihatan Arab Saudi, Dr. Tawfiq al-Rabiah, dilaporkan berkata antara syarat utama kemasukan jemaah haji pada Julai depan ialah wajib mendapatkan suntikan vaksin Covid-19. K! ONLINE