SHAH ALAM – The Lion Troops yang kini menghuni tangga tercorot liga selepas mengharungi tujuh perlawanan mengakui masih mencari rentak sebagai pencabar yang digeruni seperti musim lalu.
Berdasarkan kedudukan Liga Super, pasukan UiTM FC itu sekadar meraih satu mata dengan enam kekalahan yang ditanggung mereka.
Pengurusnya, Mustaza Ahmad berkata, pihaknya telah meminta jurulatih, Frank Bernhardt mencari formula baharu dalam mencorak permainan mengikut kualiti pemain baharu dan lama.
“Sebelum ini kita ada pemain penyerang seperti Gustavo Almeida dan Rabih Mohammad Ataya yang sesuai dengan taktikal yang diterapkan pada musim lalu.
“Namun, bila mereka sudah tiada dan merasakan perlu menerapkan dan menukar corak permainan baharu.
“Ini penting supaya hasilnya kita kembali jadi pencabar dalam perlawanan akan datang,”katanya kepada pemberita selepas Program Sumbangan Prihatin Golongan B40 di Pusat Sukan Universiti Teknologi Mara (UiTM) hari ini.
Turut hadir Timbalan Naib Canselor, Penyelidikan Dan Inovasi, Prof. Dr. Mohd. Nazip Suratman.
Justeru, Mustaza Ahmad menjadikan perlawanan menentang Melaka di laman sendiri adalah tonik terbaik meningkatkan semula kredibiliti pasukan itu.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu, walaupun pasukannya berjaya meningkatkan mutu permainan menentang Perak FC sebelum ini namun nasib tidak menyebelahi mereka.
Dalam perlawanan itu, UiTM yang mendahului dua gol jaringan akhirnya tewas kepada skuad The Bos Gaurus 2-3 di Stadium Ipoh, Perak.
“Walaupun, kita menemui ‘karakter’ permainan namun tetap tewas. Jadi, berharap pemain terus fokus,” katanya. – K! ONLINE