JAKARTA – Trend aksi berbahaya kumpulan remaja menahan lori yang bergerak di jalan raya di beberapa lokasi sekitar Indonesia menimbulkan kebimbangan orang ramai, lapor portal Martapurapedia kelmarin.
Berdasarkan sebuah klip video yang dimuat naik dalam akaun Instagram @martapurapedia, sekumpulan remaja dilihat berlari ke tengah jalan dan menahan sebuah lori yang sedang bergerak.
Sebaik lori tersebut berhenti, rakan-rakannya bergegas memanjat belakang kenderaan itu.
Berdasarkan kenyataan yang disertakan bersama klip video tersebut, beberapa sumber memberitahu bahawa sejak Januari lalu, terdapat lima kes langgar lari melibatkan remaja yang menahan lori.
Kejadian dikatakan berlaku di daerah Cilincing, bandar Tangerang Selatan, Bogor, Bekasi dan Tangerang.
Menurut kenyataan itu, pelbagai alasan diberikan oleh remaja terbabit berhubung tindakan mereka termasuk sebagai kandungan aplikasi TikTok dan menumpang lori ke destinasi yang diinginkan.
Mereka juga berasa bangga apabila berjaya menahan dan menumpang lori kerana nampak lebih berani.
Mangsa yang terkorban dikatakan berusia bawah 17 tahun.
Rata-rata netizen marah dengan tindakan tersebut yang dianggap bukan sahaja mengancam nyawa sendiri sendiri tetapi turut membahayakan pengguna jalan raya lain.
Malah, beberapa netizen meminta orang awam mengusir remaja yang cuba berbuat demikian kerana mereka ‘menyusahkan’ masyarakat. – Agensi