PETALING JAYA – Permodalan Nasional Bhd. (PNB) berjaya mengekalkan prestasi kewangan yang berdaya tahan walaupun berdepan dengan persekitaran mencabar pada tahun 2020.
Aset di Bawah Pengurusan (AUM) firma tersebut juga tumbuh sebanyak 3.4 peratus kepada RM322.6 bilion pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 berbanding RM312 bilion tahun sebelumnya.
Unit Dalam Edaran (UIC) bagi semua 15 dananya juga bertambah sebanyak empat peratus kepada 264 bilion unit setelah menerima lebih daripada 200,000 pemegang akaun baharu sepanjang tahun lalu menjadikan jumlah keseluruhan akaun sebanyak 14.5 juta.
Pengerusi Kumpulan, Tan Sri Dr. Zeti Aziz berkata, PNB berjaya mengharungi segala cabaran pada 2020 hasil transformasi yang dilaksanakan sejak 2018.
“PNB telah berjaya menghadapi satu lagi iklim pelaburan yang sangat mencabar dan dapat menghasilkan tiga pencapaian yang memberangsangkan.
“Kami mengekalkan prestasi kewangan yang berdaya tahan, mencapai kemajuan ketara dalam usaha kepelbagaian portfolio dan meningkatkan lagi pengalaman pengguna kepada pemegang unit,” katanya dalam taklimat secara maya semalam.