PERTEMBUNGAN Kuala Lumpur Wildcats dan Selangor Angels ibarat ‘buku bertemu dengan ruas’ selepas dua pasukan gergasi bola jaring tersebut akan berentap pada aksi separuh akhir Netball Super League (NSL) yang berlangsung di Stadium Bukit Kiara malam esok.
Atas kertas, KL Wildcats dilihat antara pencabar terhebat untuk memburu gelaran sulung NSL 2021 apabila meraih kemenangan bersih 100 peratus selepas mencatat enam kemenangan berturut-turut.
Bagaimanapun, cabaran pasukan Selangor Angels juga tidak boleh dipandang sebelah mata apabila mereka mempunyai barisan pemain berkaliber dan muda seperti bintang pemain kebangsaan, An Najwa Azizan yang juga penjaring terbanyak ketika ini.
Jurulatih bola jaring pasukan remaja kebangsaan, Aminah Asaari mengakui empat pasukan yang melayakkan diri ke separuh akhir NSL 2021 antara pasukan terbaik di Malaysia ketika ini.
Katanya, perlawanan tumpuan terarah kepada pasukan berpengalaman seperti KL Wildcats dan Selangor Angels yang mempertaruhkan pemain terbaik untuk ke final.
Sementara itu, Johor Jewels yang muncul selaku juara Kumpulan B akan berdepan Perak Phoenix.
“Pada pandangan saya, perlawanan separuh akhir ini sangat menarik kerana pertembungan empat pasukan terbaik. Pada perlawanan KL dan Selangor nanti, pasti menyajikan aksi yang sengit dan rancak untuk disaksikan.
“Meskipun KL muncul satu-satunya pasukan dengan rekod kemenangan bersih 100 peratus, namun perlu diakui Selangor tidak akan berdiam diri dengan status tersebut, malah mereka akan melakukan persiapan terbaik mengekang KL dari terus melakukan kejutan.
“Saya tahu KL merupakan pasukan yang cukup lengkap dan mempunyai kombinasi yang baik. Mereka mempunyai ramai pemain berpengalaman yang mampu menyekat Selangor yang hanya mempunyai beberapa pemain terbaik seperti An Najwa mahupun L. Karishma.
“Saya lihat dengan sedikit kelemahan yang ada pada Selangor ini mampu memberi masalah kepada mereka ketika berdepan KL nanti. Tetapi, pada aksi separuh akhir itu nanti, saya yakin Selangor akan turun dengan strategi berbeza untuk memerangkap KL,” katanya.