fbpx

MOTAC sertai delegasi ke Arab Saudi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOTAC

PUTRAJAYA – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan menyertai delegasi Malaysia ke Arab Saudi bagi lawatan kerja rasmi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Zulkifli Mohamad al-Bakri hari ini hingga 18 April depan berkaitan haji dan umrah.

MOTAC dalam satu kenyataan berkata, selaku kementerian yang mengawal selia pengendalian pakej umrah atau ziarah, lawatan kerja itu penting bagi melihat aspek prosedur operasi standard (SOP) bagi kedua-dua negara.

Katanya, selain itu, ia bagi melihat hal-hal kebajikan jemaah Malaysia semasa mengerjakan umrah dan cadangan kelonggaran untuk dipertimbangkan Kerajaan Arab Saudi kepada para penggiat industri umrah Malaysia yang terkesan disebabkan wabak Covid-19.

“Kerajaan Arab Saudi telah memperkenalkan dasar-dasar baharu dan mengenakan SOP yang ketat selaras dengan pengumuman pembukaan semula sempadan antarabangsa negara tersebut.

“Ia termasuk membenarkan semula aktiviti umrah kepada umat Islam selain warganegara Arab Saudi pada 1 November tahun lalu,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, MOTAC berkata, pihaknya juga sedang memperhalusi SOP bagi tujuan membenarkan rakyat Malaysia kembali melancong ke luar negeri melalui perkhidmatan syarikat pengendali pelancongan berlesen termasuk mengerjakan ibadah umrah dan ziarah.

Katanya, draf SOP itu telah melalui beberapa siri perbincangan bersama para penggiat industri dan dibentangkan kepada pelbagai Kementerian peneraju dan agensi kerajaan untuk ditambah baik.

“Hasil lawatan kerja ke Arab Saudi ini diharap akan memperkemas cadangan kementerian ini kepada pihak kerajaan berhubung membenarkan rakyat Malaysia kembali melancong ke luar negeri termasuk mengerjakan ibadah umrah dan ziarah dengan menggunakan perkhidmatan syarikat pengendali pelancongan berlesen.

“Sehingga ketetapan baharu oleh kerajaan dibuat, pihak kementerian mendokong dasar-dasar semasa dalam menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Ordinan Darurat bertujuan memerangi wabak Covid-19 termasuk larangan perjalanan keluar negeri bagi tujuan tidak penting seperti aktiviti pelancongan termasuk pelaksanaan aktiviti umrah,” katanya.

MOTAC berkata, ketetapan dasar semasa kerajaan dan langkah-langkah yang sedang diambil oleh kerajaan Arab Saudi dalam memerangi wabak Covid-19 akan sentiasa dihormati dan dipatuhi. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI