fbpx

Mengamuk kerana berang ditegur jual peti ais

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebilah pisau yang dirampas daripada seorang lelaki yang ditangkap di Pongsu Seribu, Kepala Batas semalam.

SEBERANG PERAI – Seorang penagih dadah yang menjual peti ais tanpa pengetahuan keluarganya mengamuk selepas perbuatan itu ditegur abangnya dalam kejadian di Kampung Pongsu Seribu, Kepala Batas di sini semalam.

Suspek lelaki berusia 24 tahun itu naik angin selepas abangnya bertanya mengenai peti ais yang diletakkan di dapur didapati telah tiada semasa pulang ke rumah kira-kira pukul 6.30 petang.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, suspek pada mulanya mengaku menjual peti ais berkenaan.

“Kemudian suspek dalam keadaan marah-marah telah berkata dia akan mencederakan abangnya berusia 26 tahun itu dengan memukul dengan kayu dan menikam dengan pisau.

“Kejadian itu disaksikan adik lelaki mereka berusia 18 tahun yang mendengar ugutan itu selain dia turut diugut untuk dipukul dengan kayu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Noorzainy berkata, pihaknya berjaya memberkas suspek yang positif dadah jenis methamphetamine itu bersama sebiliah pisau selepas menerima laporan daripada mangsa pada hari sama.

“Siasatan mendapati suspek yang memiliki dua rekod lampau berkaitan dadah itu baru keluar dari Penjara Jawi di Nibong Tebal berkaitan kes dadah kira-kira sebulan lalu.

“Suspek dikatakan selalu mengamuk di rumah dan meminta duit daripada adik- beradiknya untuk membeli dadah,” katanya lagi.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI